Indonesia catat rekod hampir 30,000 kes positif Covid-19 dalam 24 jam

Gelombang kedua pandemik Covid-19 kini menular dengan pantas di Indonesia, menyebabkan khemah sementara yang didirikan di luar hospital semakin sesak dibanjiri pesakit, bilik mayat penuh, manakala kakitangan perubatan semakin tertekan.

Situasinya amat kritikal sekali dengan jumlah warga di negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu, dijangkiti virus Covid-19 terus meningkat.

Negara itu hari ini melaporkan kes harian paling tinggi sejak pesakit pertama dikesan Mac tahun lalu dengan mencatatkan 29,745 jangkitan, serta 558 kematian dalam tempoh 24 jam.

Kes positif keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 2,313,829 dengan 1,942,690 pesakit dikatakan sembuh.

“Sekarang kita mengalami gelombang jangkitan Covid-19 yang jauh lebih buruk daripada yang pertama dan penyebarannya semakin hari semakin teruk.

“Apabila laporan menyebut 63 pesakit meninggal dunia di sebuah hospital dalam masa dua hari akibat kekurangan bekalan oksigen, itu adalah petanda bahawa keadaan Covid-19 sudah amat runcing sekali di Indonesia,” kata seorang pegawai perubatan sebuah hospital di Jakarta, ibu negara yang menjadi ‘kilang virus’ terbesar di negara yang mempunyai populasi lebih 230 juta itu.

Susulan hospital dan khemah sementara yang tidak lagi dapat menampung jumlah pesakit Covid-19, Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia mengeluarkan perintah No.3/2021 berkaitan penggunaan semua asrama haji sebagai tempat pengasingan dan keperluan kecemasan yang lain.

Pemangku Ketua Pengarah Kementerian Haji dan Umrah Indonesia, Khoirizi Dasir berkata mereka telah diarah bekerjasama dengan Pasukan Petugas Covid-19, Angkatan Tentera Republik Indonesia (TNI), polis, gabenor dan agensi lain untuk menyediakan kemudahan di asrama haji.

Penggunaan asrama haji bagi menampung pesakit Covid-19 untuk pengasingan diri atau keperluan kecemasan lain hanya untuk sementara, katanya.

Sementara itu pakar epidemiologi Universiti Indonesia Pandu Riono menjelaskan pasukan khas Fakulti Perubatan Awam sudah menjangkakan varian Delta yang menyebabkan ‘tsunami’ Covid-19 di India, akan mencetuskan ‘kekacauan’ di Indonesia.

“Kami mengira penularan virus dua kali ganda. Apabila virus Delta menjadi dominan, penularannya akan cepat dan mengikuti corak yang dialami India.

“Ini memaksa sekatan awam yang ketat di Jawa dan Bali, tidak hanya menerapkannya di Jakarta yang menjadi wilayah dengan populasi paling padat,” katanya.

Mulai 3 Julai lalu hingga 20 Julai depan pemerintah Indonesia mengetatkan lagi protokol kesihatan Covid-19 dengan menguatkuasakan Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) di Pulau Jawa dan Bali.

Sebelum ini Pertubuhan Palang Merah Indonesia menganggap negara bitu berada dalam malapetaka susulan peningkatan jangkitan akibat penularan varian Delta sehingga hospital tidak lagi mampu menampung pesakit.

“Setiap hari kita melihat varian Delta ini mendorong Indonesia lebih dekat ke bencana Covid-19,” kata Jan Gelfand, ketua perwakilan Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Indonesia (IFRC).

Pemerintah Indonesia sebelum ini menyalahkan pergerakan orang ramai menjelang sambutan Hari Raya Puasa Mei lalu serta penularan varian Delta, sebagai punca kes positif Covid-19 meningkat. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR