Indonesia catat rekod 21,095 kes baharu Covid-19, 358 kematian

Dua hari lalu Kementerian Kesihatan Indonesia melaporkan lonjakan kes positif baharu Covid-19 sebanyak 20,574 kes, tertinggi pernah direkodkan sejak kes pertama dikesan pada Mac tahun lalu.

Namun hari ini rekod itu pecah apabila 21,095 kes baharu dilaporkan, sekali gus menggusarkan pelbagai pihak terutama pakar kesihatan berhubung penularan ‘varian of concern’ (VOC) serta pergerakan orang ramai.

Jumlah jangkitan Covid-19 di negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu sejak pandemik bermula Mac tahun lalu, kini mencecah 2,093,962 orang.

Kementerian Kesihatan negara itu turut melaporkan 358 lagi kematian akibat virus berkenaan dalam tempoh 24 jam lalu.

Pakar epidemiologi yang membantu membentuk pasukan pengurusan pandemik Kementerian Kesihatan Indonesia selama 20 tahun, Dr Dicky Budiman sebelum ini berkata sementara varian Delta lebih menular berbanding varian Alpha, varian itu menjadi pendorong kepada peningkatan penularan semasa.

“Ketika ini penyebaran varian Delta sangat kecil, sementara varian Alpha disebarkan oleh anggota masyarakat yang tidak mematuhi larangan perjalanan.

“Saya setuju varian Delta dijadikan kambing hitam. Kita sudah lebih daripada satu tahun menangani wabak ini, tetapi pemerintah telah membuktikan bahawa ia tidak dapat mengendalikan Covid-19,” katanya yang juga bertugas di Universiti Griffith Australia.

Sementara varian Alpha mungkin masih dominan, Budiman memberi amaran bahawa hanya beberapa saat sahaja sebelum varian Delta mengambil alih.

Beliau bimbang Indonesia tidak lama lagi akan menghadapi tsunami Covid-19 setara dengan apa yang berlaku di India.

Sementara itu, Presiden Joko Widodo berkata Indonesia menetapkan sasaran untuk memberi dua juta dos vaksin Covid-19 sehari pada Ogos ini dalam usaha mengekang penularan wabak itu susulan peningkatan kes sejak sambutan Aidilfitri Mei lalu.

Beliau berkata lonjakan kes di Indonesia semakin parah dengan kewujudan varian baharu Covid-19 seperti Delta, Alpha dan Beta. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR