Indonesia catat kes harian tertinggi, 15,308 jangkitan baharu Covid-19

Indonesia hari ini sekali lagi merekodkan kes harian tertinggi dengan 15,308 individu dijangkiti Covid-19 sementara 303 kematian lagi dicatatkan, lapor Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia.

Jumlah keseluruhan kes positif di negara ke empat paling ramai penduduk di dunia itu meningkat kepada 2,033,421, dengan 1,817,303 pesakit dilaporkan sembuh.

Jumlah kematian juga meningkat kepada 55,594 orang.

Dua hari lalu, Kementerian Kesihatan Indonesia melaporkan jangkitan baharu yang direkodkan adalah 14,536 kes dengan 294 kematian.

Ketika komuniti perubatan menggesa sekatan sosial diperluas, Presiden Joko Widodo bagaimanapun menganggap sekatan peringkat kejiranan masih merupakan langkah bersesuaian dalam keadaan semasa untuk mengawal Covid-19 kerana tidak menjejaskan sektor ekonomi rakyat.

Sambil menggesa orang ramai mendapatkan vaksin jika berpeluang beliau berkata:

“Jangan tolak… tidak ada agama yang melarang vaksin demi untuk keselamatan. Vaksin adalah pilihan terbaik buat masa ini.”.

Kes jangkitan Covid-19 di Indonesia memperlihatkan peningkatan sejak beberapa minggu ini – dengan menyalahkan pergerakan orang ramai ketika cuti sambutan Hari Raya Puasa yang lalu, dan kewujudan varian Delta yang pertama kali ditemukan di India.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu lalu memberi amaran peningkatan drastik kadar penggunaan katil hospital di Indonesia menjadi perhatian utama dan memerlukan langkah kesihatan dan sosial masyarakat yang lebih ketat, termasuk sekatan sosial berskala besar.

Kerajaan Indonesia sebelum ini menolak sekatan dan penutupan berskala besar kerana bimbang akan memberi kesan kepada ekonomi. Pejabat, restoran, pusat beli-belah dan tempat ibadat tetap dibuka.

“Situasi amat membimbangkan. Kami berdepan gelombang kedua Covid-19 dengan varian yang sangat mudah menular, manakala orang ramai pula kurang memberi perhatian kepada protokol kesihatan,” kata Ahli Epidemiologi Universiti Gajah Mada Riris Andono Ahmad. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR