Indonesia catat 9,629 jangkitan baharu, Singapura pula 9,042 kes

Dua negara berjiran dengan Malaysia – Indonesia dan Singapura – melaporkan jumlah jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari tadi (14 Mac 2022), di bawah paras 10,000 kes.

Indonesia mencatat 9,629 jangkitan baharu, menjadikan kumulatif positif di negara itu meningkat kepada 5,900,124 kes – tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Pada masa sama Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemkes) melaporkan seramai 39,296 pesakit telah sembuh, menjadikan keseluruhannya 5,434,729 pesakit telah pulih.

Seramai 271 pesakit meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan kumulatif sebanyak 152,437 kes kematian, menurut data kementerian itu, hari ini.

Ahli Epidemiologi Universiti Indonesia (UI) Tri Yunis Miko Wahyono berkata pihak berkuasa perlu meningkatkan ujian dan pengesanan Covid-19 walaupun kes mencatatkan penurunan.

“Setakat ini kes Covid telah menyusut secara drastik tetapi kerajaan mesti memantau atau menjalankan pengawasan dengan ketat. Keupayaan pengesanan mesti ditingkatkan,” katanya lapor Antaranews.

Wahyono menggesa orang ramai supaya tidak takut menguji diri mereka, sama ada ujian swab antigen atau PCR kerana semakin ramai tidak peduli terhadap ujian itu.

“Pada masa ini, orang ramai tidak bersemangat untuk menguji diri melalui antigen atau PCR, sedangkan saya rasa banyak kes yang tidak dapat dikesan menyebabkan Covid-19 terus merebak di Indonesia,” katanya.

Sementara itu, data terbaharu Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) menunjukkan sebanyak 9,042 jangkitan baharu dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari tadi.

Daripada jumlah itu, 8,941 membabitkan jangkitan tempatan manakala 101 lagi adalah kes import.

Terdapat lapan kematian akibat komplikasi Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,153 kes, kata MOH.

Kebanyakan jangkitan baharu Covid-19 di Singapura adalah kes Protokol 2, iaitu mereka yang sihat atau dinilai mempunyai keadaan ringan.

Daripada kes baharu yang dilaporkan pada Isnin, 7,598 diklasifikasikan di bawah Protokol 2, terdiri daripada 7,528 kes tempatan dan 70 jangkitan import.

Sebanyak 1,444 kes lagi disahkan melalui ujian tindak balas rantai polimerase (PCR), dengan 31 daripadanya adalah jangkitan import. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR