Indonesia catat 59,384 kes baharu Covid-19 hari ini

Pasukan petugas Covid-19 Indonesia melaporkan 59,384 kes positif baharu dikesan setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan kumulatif positif meningkat kepada 5,149,021, sejak jangkitan pertama diumumkan pada 2 Mac 2020.

Sementara itu, seramai 34,699 pesakit telah sembuh menjadikan keseluruhan kes pulih mencecah 4,481,909 kes.

Pasukan petugas itu juga mencatatkan 158 kematian berkaitan Covid-19 hari ini. Secara keseluruhan, jumlah pesakit yang meninggal dunia akibat virus itu di Indonesia mencapai 146,202 orang.

Pihak berkuasa juga kini memantau 36,710 orang yang disyaki dijangkiti virus itu, selain 489,780 spesimen berkaitan Covid-19 telah diuji hari ini.

Maklumat tersebut disampaikan oleh Pasukan Petugas Covid-19 Indonesia dan data tersebut boleh diakses oleh orang ramai di Covid19.go.id atau Kemkes.go.id.

Sementara itu, Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Suharyanto berkata lonjakan kes Covid-19 berikutan penularan varian Omicron kini telah dikesan di kawasan luar Jakarta.

Suharyanto berkata, kawasan awal yang menjadi pusat penyebaran Covid-19 seperti Jakarta, Banten dan Bali nampaknya mengalami penurunan jumlah kes.

Bagaimanapun, wilayah, termasuk Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, dan wilayah di luar Jawa, menyaksikan lonjakan.

“Begitulah Omicron. Walaupun ia tidak terlalu membawa maut, jangkitannya sangat cepat,” katanya.

Peningkatan kes Covid-19 di pelbagai wilayah ini telah mengatasi jumlah kes yang meningkat semasa lonjakan kes varian Delta COVID-19 pada Jun 2021, katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR