Indonesia catat 5,808 kes baharu, sekatan Covid-19 mula dilonggar

Indonesia, negara keempat paling padat penduduk di dunia, melaporkan 5,808 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, turun berbanding 6,376 kes pada Rabu.

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemkes) juga melaporkan dalam tempoh itu seramai 122 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, dan 18,272 pesakit sembuh.

Negara itu kini merekodkan kumulatif positif lebih 5.97 juta dengan 5.65 juta pesakit telah sembuh, dan 155,977 kes masih aktif.

Menurut data Kemkes, Jawa Barat merupakan wilayah yang melaporkan paling banyak jangkitan dengan 1,229 kes diikuti Jakarta (1,067 kes) dan Jawa Tengah (625 kes).

Susulan jangkitan yang semakin menurun, Jakarta mula melonggarkan perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) secara berperingkat.

“Kini ia mula memasuki peringkat ke arah endemik. Oleh itu kerajaan membenarkan lebih banyak ruang bagi aktiviti kemasyarakatan,” kata Timbalan Gabenor Jakarta, Ahmad Riza Patria, pada Khamis.

Kapasiti pengangkutan awam dinaikkan kepada 100 peratus dan kapasiti pembelajaran bersemuka (PTM) juga dirancang ditingkatkan kepada 100 peratus. Untuk upacara perkahwinan, tetamu telah dibenarkan makan di tempat majlis diadakan.

Kerajaan juga membenarkan umat Islam Indonesia menjalankan tradisi tahunan ‘mudik,’ atau pulang, supaya mereka dapat menyambut Aidilfitri bersama sanak saudara di kampung halaman.

Untuk mengambil bahagian dalam mudik, pengembara dikehendaki telah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 dan suntikan penggalak. Umat Islam juga dibenarkan menunaikan solat Tarawih dan Aidilfitri secara berjemaah.

“Yang tidak boleh, iaitu berbuka puasa beramai-ramai, khususnya penjawat awam, dan lain-lain. Presiden sendiri telah menyampaikan arahan ini,” kata Ahmad Riza.

Beliau bagaimanapun, meminta orang ramai untuk terus mengikuti protokol kesihatan, dengan menyatakan penularan pandemik Covid-19 kekal dinamik.

Malah, di beberapa tempat, termasuk di China dan Hong Kong, kes Covid-19 telah meningkat, katanya.

“Jadi, sesetengah negara mempunyai dasar yang berbeza. Di Arab Saudi kita boleh pergi umrah; semoga dapat menunaikan haji. Tiada lagi penjarakan sosial, hanya memakai pelitup muka, tiada kuarantin. Yang penting vaksin,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR