Indonesia catat 57,491 kes hari ini, 257 kematian

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh Republik Indonesia hari ini melonjak semula dengan merekodkan 57,491 kes baharu, berbanding 34,418 kes semalam.

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemkes) memaklumkan dalam tempoh 24 jam hari ini, seramai 257 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.

Jumlah kes baharu itu menjadikan kumulatif positif sebanyak 5,289,414 – tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN – manakala kes kematian pula mencecah 146,798 pesakit.

Seramai 38,474 pesakit lagi telah sembuh menjadikan keseluruhan kes pulih sebanyak 4,593,185 pesakit.

Data Kemkes juga menunjukkan sehingga hari ini sebanyak 549,431 kes masih aktif, selain 45,398 individu yang disyaki dijangkiti Covid-19.

Wilayah Jawa Barat menyumbang kes baharu tertinggi sebanyak 13,658 jangkitan, diikuti Jawa Timur (7,569 kes) dan Jakarta (5,208 kes).

Sementara itu, Jawa Tengah merekodkan 4,219 kes, sementara Yogyakarta (2,450 kes).

Terdahulu, Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi meramalkan lima wilayah akan mengalami kemuncak kematian Covid-19 dalam tempoh dua minggu akan datang setelah merujuk kepada kemuncak kes yang telah dilalui lima wilayah iaitu Jakarta, Banten, Bali, Maluku, dan Nusa Tenggara Barat.

“Kami membandingkan ini dengan negara lain di mana kes kematian biasanya 15 hingga 20 hari daripada kemuncak penularan. Jadi walaupun wilayah seperti Jakarta menunjukkan penurunan jumlah kes, Bali juga, tetapi kemuncak kes kematian akan berlaku dua minggu selepas itu,” katanya pada Selasa, 22 Februari. 2022.

Wilayah lain yang mengalami kemuncak penularan, tetapi masih menunjukkan tanda penurunan, adalah Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Papua, Sulawesi Utara, Lampung, Sulawesi Selatan, Sulawesi Utara, dan Sumatera Selatan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR