Indonesia catat 57,426 jangkitan baharu, 586,113 kes aktif

Indonesia semalam merekodkan jumlah kes aktif tertinggi apabila mencatat 586,113 kes, mengatasi jumlah pada 25 Julai 2021 sebanyak 574,135, kata Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemkes), hari ini.

Angka itu dicatat setelah sebanyak 57,426 lagi jangkitan baharu direkodkan semalam, menjadikan keseluruhan kumulatif positif di negara itu mencecah lebih 5.40 juta kes, dengan 4,674,873 pesakit telah sembuh.

Rekod kes aktif yang dicatat di negara keempat paling padat penduduk di dunia itu pada 25 Julai tahun lalu adalah ketika kemuncak penularan varian Delta, dan kini Omicron menjadi varian dominan di Indonesia.

Bagaimanapun, Kemkes memaklumkan peningkatan jumlah kes aktif itu berbeza daripada tahun lalu, apabila kadar kemasukan ke hospital tidak melonjak.

Bilangan mingguan kemasukan ke hospital Covid-19 ialah 9.02 bagi setiap 100,000 penduduk setakat Rabu, angka yang sangat sederhana berbanding 33.69 bagi setiap 100,000 penduduk yang direkodkan pada 17 Julai tahun lepas,” kata jurucakap Kemkes Dr Siti Nadia Tarmizi dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Jawa Barat menyumbang jangkitan harian tertinggi sebanyak 12,937 kes, diikuti Jakarta (6,855 kes); Jawa Timur (6,643 kes); dan Jawa Tengah (6,021 kes).

Dalam perkembangan positif lain, kemuncak Covid-19 dalam gelombang semasa dilihat telah berlalu di sekurang-kurangnya 10 daripada 34 wilayah di Indonesia, tambahnya.

Kes baharu telah menurun sepanjang minggu lalu di Jakarta, Banten, Bali, Maluku, Papua, Nusa Tenggara Barat, Jawa Timur, Jawa Barat, Kalimantan Selatan dan Papua Barat.

Hospital tidak terlalu banyak dibanjiri pesakit Covid-19, dengan kadar penghunian katil kekal pada 38 peratus sejak hujung minggu, menurut data dikeluarkan Kemkes.

Kadar kematian kes juga menjunam kepada 2.85 peratus daripada 6.61 peratus minggu lepas.

Lebih 143 juta rakyat Indonesia telah lengkap divaksinasi, dengan lebih 9.5 juta daripadanya telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

Kemkes juga melaporkan 317 pesakit Covid-19 di negara itu meninggal dunia semalam, menjadikan kumulatif kes kematian meningkat kepada 147,342 sejak awal 2020 lalu.

Bagi mengelak peningkatan kadar kematian meningkat, Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin mengingatkan orang ramai supaya segera melengkapkan vaksinasi.

Beliau menegaskan bahawa majoriti pesakit yang meninggal dunia tidak menerima dua dos vaksin Covid-19. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR