Indonesia catat 57,049 kes baharu, tertinggi sejak awal pandemik

Republik Indonesia hari ini merekodkan jumlah jangkitan harian tertinggi sejak pandemik melanda negara itu apabila dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 57,049 kes dilaporkan.

Lonjakan kes harian Covid-19 di negara itu dikatakan susulan penularan pantas varian Omicron.

Kes harian itu adalah rekod baharu, lebih tinggi daripada kemuncak jangkitan pada Julai tahun lalu apabila gelombang Delta melanda Indonesia. Pada 15 Julai 2021, Indonesia merekodkan lebih 56,000 kes baharu.

Sejak Mac 2020 hingga hingga hari ini, Indonesia mencatat kumulatif kes positif sebanyak 4,901,328, tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemkes) turut melaporkan seramai 134 pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh itu, menjadikan kumulatif kematian sebanyak 145,455 kes.

Pihak berkuasa juga melaporkan seramai 26,747 pesakit telah sembuh hari ini menjadikan kumulatif pulih sebanyak 4,349,848 kes.

Kadar kemasukan ke hospital menunjukkan tanda-tanda peningkatan pantas di ibu kota Jakarta, sementara di kawasan lain masih perlahan, ketika pihak berkuasa menambah lebih banyak katil.

Terdahulu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan nasihat perjalanan ke Indonesia dengan menyenaraikannya pada Tahap 4: Jangan Melancong.

Peningkatan jangkitan Covid-19 yang disebabkan oleh varian terbaharu, Omicron, menjadikan Indonesia antara penyumbang terbesar jumlah kes jangkitan di rantau Asia Tenggara.

Data daripada Universiti Johns Hopkins petang semalam menunjukkan Indonesia melepasi Vietnam dan Filipina selepas beberapa hari sebelum itu juga melepasi Singapura, Malaysia dan Thailand. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR