Indonesia catat 5 juta kes positif

Republik Indonesia hari ini mencatat satu lagi rekod apabila kumulatif kes positif Covid-19 di negara itu mencecah melebihi lima juta kes, tertinggi di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, kematian berkaitan Covid-19 serta penggunaan katil susulan lonjakan jangkitan didorong oleh varian Omicron masih rendah berbanding gelombang terdahulu yang melibatkan varian Delta.

Sejak Selasa, kes harian Covid-19 di negara itu telah mengatasi rekod pada Julai tahun lalu apabila dalam tempoh 24 jam lalu seramai 63,956 individu disahkan positif.

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemkes) juga melaporkan dalam tempoh 24 jam itu, 206 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, lebih rendah berbanding lebih 2,000 kematian sehari ketika kemuncak gelombang Delta tahun lalu.

Data dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan juga menunjukkan kadar penggunaan katil adalah sebanyak 33 peratus dan 25 peratus lagi di unit rawatan rapi (ICU).

Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin berkata kes dan kematian dijangka terus meningkat tetapi hospital tidak mungkin melimpah lagi kerana Omicron secara amnya menyebabkan gejala yang kurang teruk.

Kerajaan telah melengkapkan hospital dengan lebih banyak katil, dan Jakarta terus menjadi yang paling teruk terjejas di Indonesia.

Kadar penghunian katil Covid-19 di 140 hospital di bandar itu meningkat daripada lima peratus pada awal Januari kepada 59 peratus hari ini.

Hampir separuh daripada semua katil untuk pesakit Covid-19 di Jawa Barat, Yogyakarta dan Bali telah penuh, menurut Kemkes.

Jurucakap pasukan petugas Covid-19 Indonesia, Wiku Adisasmito berkata keadaan masih terkawal.

Beliau berkata 71 peratus daripada 74,838 pesakit yang dimasukkan ke hospital adalah tanpa gejala atau dengan gejala ringan.

“Mari kita membantu mereka yang sangat memerlukan rawatan hospital kerana mereka mengalami simptom yang teruk, mempunyai komorbiditi atau dalam keadaan kritikal,” katanya pada sidang media hari ini.

Data juga menunjukkan 68 peratus daripada kematian berkaitan Omicron adalah individu yang tidak diberi vaksin, manakala 49 peratus adalah warga emas dan 48 peratus dengan penyakit teruk lain.

Hanya 66 peratus daripada 208 juta populasi Indonesia telah lengkai divaksinasi. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR