Indonesia catat 46,843 kes baharu

Indonesia semalam merekodkan 46,843 jangkitan baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 4,626,936 kes, lapor Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemkes).

Jurucakap kementerian itu Dr Siti Nadia Tarmizi berkata jumlah kes yang disahkan dengan varian Omicron juga meningkat kepada 4,768 dengan kebanyakannya adalah jangkitan tempatan.

Menurut kementerian itu, jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat sebanyak 65 menjadikan keseluruhannya 144,784 kes.

“Semalam seramai 14,016 pesakit telah pulih menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 4,216,328 kes,” katanya.

Kerajaan Indonesia juga dilaporkan sedang mempercepatkan program vaksinasi bagi membendung penularan virus itu.

Lebih 187.29 juta orang di negara ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19, manakala lebih 132.66 juta telah mengambil dos kedua mereka, menurut kementerian itu.

Sementara itu, Dr Siti Nadia berkata kadar semasa positif Covid-19 dalam kalangan pekerja sektor kesihatan sekarang ini adalah tinggi, dengan lima daripada lapan yang diuji, positif virus itu.

Menurut data awal yang dikumpul dari empat hospital Jakarta, setakat 6 Februari 2022, lebih 30 peratus pekerja kesihatan di hospital berkenaan telah terdedah kepada Covid-19, tambahnya.

Empat hospital itu ialah Hospital Rawatan Penagihan Dadah (RSKO) dengan kadar positif 63 peratus, Hospital Fatmawati 41 peratus, Hospital Sulianti Saroso 40 peratus, dan Hospital Jantung Harapan Kita 39 peratus, kata Tarmizi.

“Ia hanya data awal. Pada masa ini, bilangan pekerja kesihatan yang diuji masih rendah,” tambahnya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR