
Semakin ramai rakyat Indonesia yang mula mengabaikan pemakaian pelitup muka di tempat awam setelah jangkitan Covid-19 di negara itu semakin menurun. - Gambar Bloomberg
Jangkitan virus Covid-19 di seluruh Indonesia terus melonjak dengan semalam sahaja sebanyak 40,618 kes baharu dilaporkan, menurut data Pasukan Petugas Covid-19 negara itu.
Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemkes) pula memaklumkan Indonesia kini merekodkan kumulatif posotif sejak awal 2020 lalu sebanyak 4,667,554 kes, tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Daripada jumlah kes baharu itu, lebih 11,000 direkodkan di wilayah Jakarta.
Susulan itu, Timbalan Gabenor Jakarta Ahmad Riza Patria berkata 14 unit kejiranan atau RT di ibu negara itu kini dikategorikan sebagai zon merah Covid-19.
Ini bermakna terdapat lebih daripada 10 isi rumah di setiap kejiranan yang telah terdedah kepada Covid-19 dan kini berada di bawah pengawasan rapi pihak berkuasa perkhidmatan kesihatan tempatan.
“Terdapat 216 RT kini diletakkan dalam zon jingga, sementara 5,490 RT diisytiharkan sebagai zon kuning,” kata Riza hari ini.
Zon kuning bermaksud satu hingga lima isi rumah di mana ahlinya telah dijangkiti Covid-19. Zon jingga bermaksud enam hingga 10 isi rumah.
Riza meminta penduduk mematuhi protokol kesihatan yang ketat bagi memastikan tiada lagi kawasan kejiranan menjadi zon merah, lebih-lebih lagi kes diramal meningkat sehingga Mac.
“Kami meminta orang ramai tinggal di rumah untuk perkara yang tidak mendesak. Bekerja dari rumah sebanyak mungkin,” katanya.
Majlis Perbandaran Jakarta Barat pada masa ini mempunyai bilangan kejiranan zon merah yang paling banyak. Minggu lalu, 25 RT di lapan mukim diisytiharkan sebagai zon merah.