Indonesia catat 33,729 kes baharu, jangkitan di Singapura turun

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemkes) mengesahkan jangkitan Covid-19 di negara itu naik lagi berbanding semalam, sementara Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) pula melaporkan kes di negara itu turun sedikit.

Kemkes memaklumkan dalam tempoh 24 jam semalam sebanyak 33,729 jangkitan baharu dilaporkan di Indonesia, berbanding 32,111 kes yang disahkan pada Jumaat, dan 44 lagi kematian.

Sehingga semalam, negara itu merekodkan 4,480,423 kumulatif positif, dengan 4,172,458 pesakit telah sembuh, dan 144,497 kematian sejak wabak itu melanda negara keempat paling padat penduduk di dunia itu.

Indonesia turut memperhebatkan pemberian suntikan vaksin Covid-19 dan sehingga semalam lebih 186.38 juta orang telah menerima dos pertama mereka, manakala lebih 130.78 juta lagi telah lengkap divaksinasi.

Negara itu memulakan program vaksinasi Covid-19 secara besar-besaran pada Januari tahun lalu selepas pihak berkuasa meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Sinovac China.

Menyasarkan untuk memberi vaksin sepenuhnya kepada 208.2 juta penduduknya, pemerintah republik itu telah memberikan lebih 322.6 juta dos, termasuk suntikan dos penggalak.

Sementara itu, Singapura pula melaporkan sehingga tengah hari semalam sebanyak 10,390 jangkitan baharu dikesan, turun berbanding 13,208 yang direkodkan pada Jumaat.

MOH turut melaporkan dua lagi kematian akibat komplikasi Covid-19 di negara itu.

Kedua-dua angka baharu itu menjadikan kumulatif positif di republik berkenaan meningkat kepada 390,071 kes dan 868 kematian.

Menurut laman sesawang MOH daripada jumlah jangkitan baharu itu, 10,208 melibatkan penularan tempatan dan 182 lagi adalah kes import.

Sementara itu, jumlah terkumpul kes positif di Filipina mencecah lebih 3.6 juta setelah 7,689 jangkitan baharu dikesan semalam.

Daripada jumlah itu, 136,436 atau 3.8 peratus kes masih aktif, dengan majoritinya mengalami gejala ringan dan 96.4 peratus tidak bergejala. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR