Indonesia catat 2,048 kematian akibat Covid-19 hari ini

Ketika pemerintah Republik Indonesia menyambung lagi perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Tahap 4 dan Tahap 3 di beberapa wilayah, khususnya di Pulau Jawa dan Bali, negara itu hari ini merekodkan kes kematian harian kedua tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda awal tahun lalu.

Data Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (KKRI) mencatatkan 2,048 pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan kumulatif kepada 110,619 kes sejak awal pandemik.

Jumlah kes kematian harian tertinggi direkodkan di negara itu membabitkan 2,069 pesakit pada 27 Julai lalu.

Pada masa sama KKRI melaporkan dalam tempoh itu 32,081 jangkitan baharu dicatatkan menjadikan kumulatif lebih 3.7 juta kes positif dengan 437,055 pesakit sedang dirawat.

Indonesia melanjutkan perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) di Pulau Jawa dan Bali sehingga 16 Ogos, manakala di wilayah lain sehingga 23 Ogos, dengan melakukan pengubahsuaian terhadap peraturan-peraturan Tahap 4 dan 3, berdasarkan situasi jangkitan Covid-19 setempat.

Ini termasuk melonggarkan kawalan pergerakan di 26 daerah di bandar raya Jakarta yang diletakkan di bawah PPKM Tahap 4, selepas data rasmi menunjukkan penurunan kes di ibu kota negara itu.

Antara aktiviti dibenarkan di wilayah di bawah PPKM Tahap 3 termasuk pembukaan semula sekolah dengan kapasiti 50 peratus daripada keseluruhan pelajar, dan kawalan ketat protokol kesihatan.

Sektor eksport dan industri sokongan juga dibenar beroperasi 100 peratus di bawah protokol kesihatan yang ketat. Namun, jika kluster baharu dikesan, maka sektor berkenaan akan ditutup selama lima hari.

Antara lain, orang ramai dibenar untuk makan di restoran tetapi hanya membabitkan 50 peratus daripada kapasiti tempat duduk serta mematuhi protokol kesihatan.

Pusat-beli belah juga dibenar dibuka mulai jam 10 pagi, dengan maksimum 50 peratus daripada kapasiti pengunjung. Orang ramai diwajibkan memakai pelitup muka di dalam premis berkenaan.

Sementara itu pakar epidemiologi Universiti Griffith di Brisbane, Dicky Budiman menyatakan kebimbangan terhadap kes Covid-19 yang tidak bergejala, walaupun memuji langkah pemerintah Indonesia melanjutkan PPKM Tahap 4 dan 3.

Namun beliau menyatakan usaha untuk meningkatkan ujian saringan, penelusuran kontak rapat dan rawatan merupakan aspek terbesar yang perlu diperbaiki.

“Menerusi perkiraan saya ketika PPKM Darurat sebelum ini, kemungkinan terdapat sehingga satu juta kes tidak bergejala yang gagal dikesan di Jawa-Bali,” katanya.

Beliau percaya selagi virus dan individu tidak bergejala gagal dikesan adalah sukar untuk menyusun langkah bagi mengawal penularan wabak itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR