Indonesia catat 16,021 kes hari ini

Wilayah Jakarta mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi di republik Indonesia hari ini, apabila seramai 6,391 individu disahkan positif, menurut Pasukan Petugas Covid-19.

Setakat jam 12 tengah hari tadi waktu Indonesia Barat, Jawa Barat mencatatkan 4,249 kes diikuti, Banten (2,463 kes); Jawa Timur (760 kes); dan Bali (715 kes), menurut data yang diberikan oleh Pasukan Petugas Covid-19.

Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan harian Covid-19 kepada 16,021 kes, sekali gus melonjakkan kes positif seluruh negara sejak Mac 2020 kepada 4,369,391 kes, kata pasukan petugas itu.

Daripada 16,021 kes harian hari ini, 15,485 pesakit dijangkiti virus itu melalui penularan tempatan dan 536 mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Jumlah pesakit yang sembuh tertinggi dicatatkan di Jakarta iaitu seramai 1,668, diikuti Jawa Barat (869), Jawa Timur (292), Banten (253), dan Jawa Tengah (47).

Pada skala nasional, kadar pemulihan harian meningkat sebanyak 3,240 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 4,143,694 sejak permulaan wabak itu.

Jakarta juga mencatatkan kematian paling ramai iaitu 12 kes, diikuti Jawa Barat (empat), masing-masing tiga di Jawa Tengah dan Bali, dan Lampung (dua).

Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 di republik itu hari ini adalah sebanyak 28 kes, menjadikan keseluruhannya kepada 144,348 kes.

Pada masa ini, jumlah kes aktif di republik itu mencecah 81,349.

Sementara itu, 12,121 individu lagi disyaki dijangkiti Covid-19 berdasarkan 377,588 spesimen yang diuji dalam rangkaian makmal di seluruh Indonesia.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr Siti Nadia Tarmizi, setakat Isnin jumlah pesakit yang dijangkiti varian Omicron mencecah 2,980, terdiri daripada 1,039 kes penularan tempatan dan 1,601 kes import.

Sebanyak 340 kes masih dalam siasatan epidemiologi untuk menentukan sejarah penularan, katanya.

Kementerian itu juga memaklumkan sehingga kini lima pesakit varian Omicron meninggal dunia, dengan majoritinya belum melengkapkan vaksinasi masing-masing.

Sebanyak 63 peratus mengalami pesakit Omicron mempunyai gejala sederhana hingga teruk dan memerlukan bantuan oksigen, katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR