Indonesia buka Pondok Haji rawat pesakit Covid-19

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan berkata hospital kecemasan di Pondok Gede Haji di Jakarta Timur sudah bersedia menerima pesakit Covid-19.

“Terdapat 150 tempat rawatan sudah tersedia untuk digunakan. Tempat ini akan digunakan untuk merawat pesakit dengan gejala yang teruk dan dalam keadaan kritikal. Ia siap untuk digunakan,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa kelengkapan di hospital tambahan ini dilengkapi dengan peralatan perubatan buatan tempatan dan beliau yakin peralatan itu sangat berkualiti untuk digunakan.

Menteri itu memaklumkan bahawa PT Pertamina Bina Medika (Pertamedika) – anak syarikat minyak milik kerajaan PT Pertamina dalam perkhidmatan kesihatan – bekerjasama menjadikan asrama haji terbesar di Indonesia itu sebagai hospital khas Covid-19.

Sistem kesihatan di hospital seluruh negara itu, terutama di Jakarta hampir lumpuh apabila sesetengah daripadanya tidak lagi menerima kemasukan pesakit Covid-19 dalam kategori 1 dan 2, susulan ketiadaan tempat.

Indonesia kini berdepan gelombang baharu penularan Covid-19 yang menyaksikan purata harian kes baharu melebihi 30,000 jangkitan.

Merujuk kepada laporan dari Worldometers.info, Indonesia diletakkan sebagai negara ketiga tertinggi yang mencatatkan jangkitan Covid-19 iaitu 31,189 kes, dengan Brazil kekal negara pertama sebanyak 62,505 kes dan diikuti India (43,957 kes).

Sebelum ini, pihak berkuasa Republik ini turut memberi amaran bahawa Indonesia akan menjadi negara di Asia Tenggara yang paling teruk dilanda Covid-19 kerana kes boleh meningkat kepada 50,000 sehari.

Pemerintah republik Indonesia melaporkan sudah membuat persediaan bagi berdepan senario terburuk ini susulan jangkaan bahawa virus Covid-19 boleh menjangkiti sehingga 40,000 orang rakyatnya sehari. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR