Indonesia bersedia hadapi gelombang Omicron

Pejabat Eksekutif Presiden Indonesia (KSP) memaklumkan republik itu sudah melakukan persediaan untuk berdepan dengan gelombang jangkitan baharu akibat varian Omicron yang pantas menular dan mungkin akan melonjakkan kes jangkitan harian Covid-19.

Kerajaan republik itu mengambil langkah awal dengan menyediakan lebih 1,011 hospital dan 82,168 katil di seluruh negara.

Penasihat kanan KSP, Abraham Wirotomo berkata kerajaan sudah menyediakan semua peralatan perlindungan diri, ubat-ubatan dan diagnostik serta keperluan perubatan lain, mencukupi bagi tempoh tiga bulan akan datang.

“Memandangkan mungkin lebih banyak kemasukan pelancong asing ke Indonesia dalam tempoh beberapa bulan akan datang, perkhidmatan kesihatan perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes Covid-19,” katanya.

Jelasnya, beberapa hospital khas untuk rawatan Covid-19 sudah mengetatkan syarat lawatan dan mengehadkan kemasukan ke hospital terhadap pesakit bukan Covid-19 untuk mengelakkan berlakunya peningkatan kes secara mendadak.

Sehingga kini, lebih 138 kes melibatkan varian Omicron dikesan, di mana 135 kes daripadanya adalah kes import dan tiga lagi akibat penularan tempatan dengan satu di Jakarta dan dua di Surabaya.

Indonesia masih mendominasi tempatan pertama di Asia Tenggara sebagai pusat wabak Covid-19 dengan merekodkan lebih 54,000 kes pada pertengahan Julai tahun lalu, namun trend jangkitan kini menunjukkan penurunan.

Sehingga semalam, data diperoleh Pasukan Petugas Covid-19 Indonesia menunjukkan penurunan angka kes positif kepada 174 kes daripada 274 kes pada hari sebelumnya, menjadikan angka kumulatif kes di republik itu mencecah hampir 4.3 juta.

Setakat ini, hampir 1,659,008,872 orang sudah menerima vaksin Covid-19 bagi dos pertama, manakala lebih 114,103,362 bagi dos kedua dan hampir 1.3 juta sudah mendapatkan dos ketiga.

BERITA BERKAIT
POPULAR