Indonesia beri dos ketiga kepada 1.47 juta petugas kesihatan minggu depan

Orang ramai menunggu untuk mendapatkan vaksin Covid-19 ketika pemerintah Indonesia mempercepatkan program vaksinasi kepada rakyatnya menggunakan kenderaan di Jakarta pada Jumaat. - Gambar Nikkei Asia

Pemerintah Republik Indonesia bersetuju memberikan suntikan vaksin ketiga jenis Moderna kepada kakitangan perubatannya bagi meningkatkan lagi ketahanan diri daripada virus Covid-19, khususnya varian Delta yang semakin menular di negara itu.

Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi Sadikin berkata program vaksinasi ketiga (booster) akan dimulakan minggu depan membabitkan 1.47 juta kakitangan kesihatan negara itu.

Indonesia sebelum ini memberi vaksin Sinovac buatan China yang dihasilkan bukan menerusi teknologi mRNA kepada petugas barisan hadapan mereka.

Namun, tindakan meluluskan suntikan dos ketiga menggunakan vaksin mRNA, Moderna, dilihat cenderung untuk mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap produk China yang sebelum ini menjadi vaksin utama program vaksinasi republik itu.

Beberapa negara lain, termasuk Turki dan Emiriah Arab Bersatu sudah mula memberikan dos ketiga kepada mereka yang disuntik dengan vaksin China, di tengah-tengah kebimbangan bahawa kemungkinan vaksin itu kurang berkesan terhadap varian baharu Covid-19 yang lebih mudah menular.

Tetapi cabaran yang dihadapi di Asia Tenggara jauh lebih besar kerana banyak negara di rantau ini yang sangat bergantung kepada vaksin China kerana kekurangan dos ciptaan Barat, selain kadar vaksinasi yang rendah.

Negara-negara di Asia Tenggara juga kini terpaksa berdepan lonjakan baharu dengan varian Delta yang pantas merebak menjadi virus dominan, sehingga menjangkiti petugas kesihatan yang sudah menerima dua suntikan Sinovac.

Timbalan Pengerusi Persatuan Perubatan Indonesia Slamet Budiarto ketika memberitahu Parlimen sebelum ini berkata ribuan doktor dan kakitangan kesihatan yang telah lengkap menerima dua dos vaksin dijangkiti Covid-19 sehingga sesetengahnya membawa maut.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Parlimen yang memantau kesihatan Indonesia, Melki Laka Lena berkata sudah tiba masanya petugas kesihatan negara itu diberi dos ketiga bagi melindungi mereka daripada varian baharu yang lebih membimbangkan.

Bagaimanapun, jurucakap pasukan petugas Covid-19 negara itu, Siti Nadia Tarmizi memberitahu Kementerian Kesihatan republik itu masih menunggu cadangan daripada kumpulan penasihat imunisasi Agensi Kawalan Makanan dan Dadah Indonesia (BPOM) mengenai suntikan ketiga.

Sementara beberapa data menunjukkan vaksin Sinovac berkesan dalam melawan virus Covid-19, tidak ada data baharu yang menunjukkan vaksin itu berkesan terhadap varian Delta yang pertama kali ditemukan di India.

Dekan Fakulti Perubatan Universiti Pelita Harapan, Eka Julianta Wahjoepramono mengakui Sinovac mungkin bukan vaksin terbaik yang ada di pasaran.

“Tapi itu sahaja yang ada dan lebih baik daripada tiada apa-apa. Sinovac adalah satu-satunya pilihan. Sampai sekarang kerana kami tidak dapat menghasilkan (vaksin), kami tidak punya pilihan,” katanya yang telah menerima dua dos Sinovac tetapi tetap dijangkiti Covid-19 bulan lalu.

Indonesia hari ini terus merekodkan jangkitan harian melebihi 30,000 apabila mencatatkan 38,391 kes baharu dan 871 kematian dalam tempoh 24 jam, berbanding kes positif terburuk sebanyak 38,391 semalam.

Hospital Umum Wilayah Papua Barat juga ditutup mulai hari ini kerana tidak dapat lagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.

Penularan Covid-19 akan menjadi jauh lebih buruk, dengan pemerintah republik itu sendiri mengunjurkan jangkitan harian boleh mencecah lebih 40,000 hingga 70,000. – Agensi

POPULAR