Indonesia beri amaran gelombang ketiga, kes di 104 daerah naik semula

Indonesia mengeluarkan amaran terbaharu kepada rakyatnya berkaitan gelombang ketiga Covid-19, susulan peningkatan kes positif di 105 daerah dan bandar sejak dua minggu lalu, walaupun masih di bawah tahap ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Penyelaras Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Jawa dan Bali, Luhut Binsar Pandjaitan berkata pemerintah semakin bimbang dengan tahap jangkitan di daerah dan bandar berkenaan yang meningkat semula.

Walaupun kes melonjak, Pandjaitan yang juga Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan yakin situasi penularan itu masih terkawal.

“Presiden Jokowi (Joko Widodo) berterusan mengingatkan rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap gelombang berikutnya. Ianya berkaitan dengan peningkatan kes di 105 wilayah dan bandar di seluruh Indonesia,” katanya.

Menurutnya tahap kewaspadaan dalam kalangan masyarakat telah meningkat, selain kerajaan sendiri akan mengambil langkah untuk mencegah penularan Covid-19 walaupun kadang kala ia dianggap terlalu ketat.

“Kita menyaksikan naik dan turunnya kes. Oleh itu, kita harus berjaga-jaga,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin mengesahkan jumlah jangkitan di negara itu meningkat semula dalam tempoh dua minggu lalu.

Sejak Julai lalu, jumlah jangkitan Covid-19 di Indonesia turun mendadak membolehkan pemerintah republik itu melonggarkan beberapa peraturan, termasuk pembukaan semula pusat beli-belah.

“Kita cuba menjangkakan jumlah jangkitan. Tetapi, kita tidak boleh terlalu gembira dengan penurunan kes sehingga tidak lagi mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya sambil menambah pemerintah akan menangani peningkatan kes di 105 wilayah dan bandar itu dengan segera,

Semalam, Indonesia merekodkan 460 jangkitan baharu dan 30 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif mencecah lebih 4.2 juta dan lebih 143,000 kematian. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR