
Tidak sampai separuh daripada lebih 277 juga populasi Indonesia lengkap divaksinasi. - Gambar Bloomberg
Kekurangan pekerja penjagaan kesihatan dan bekalan vaksin Covid-19 menghalang usaha Indonesia untuk menyuntik vaksin kepada lebih ramai rakyatnya sehingga menyebabkan kadar vaksinasi berjalan perlahan.
Pada awalnya Republik tersebut merupakan negara pertama Asia Tenggara yang memulakan program vaksinasi berbanding negara jiran lain.
Menurut Bloomberg Vaccine Tracker, hanya sekitar 17.9 peratus dari 270 juta penduduk Indonesia yang sudah menerima vaksin lengkap dan kira-kira 32 peratus lagi sudah menerima dos pertama.
“Bekalan vaksin di peringkat global tidak lagi menjadi masalah, sehingga perlu menjadikan rakyat sebagai sasaran,” kata Ahli Epidemiologi di Universiti Griffith, Dicky Budiman yang membantu kerajaan dalam meningkatkan liputan vaksinasi.
“Di Jawa Timur, terdapat stok yang mencukupi, tetapi tiada ruang vaksinasi disediakan dan pemberi vaksin di lokasi tidak mencukupi untuk memberikan suntikan,” jelasnya.
Kelambatan suntikan vaksin menyukarkan Indonesia dalam mengendalikan pandemik dan memperlahankan pemulihan ekonominya yang semakin teruk, ia dianggarkan kerugian bernilai hampir AS $ 1,1 trilion.
Penyebaran varian Delta yang mudah menular memaksa pihak kerajaan Republik itu kembali melaksanakan sekatan mobiliti yang ketat pada awal suku ketiga tahun ini, dan sekatan itu juga sedikit sebanyak membantu Indonesia untuk menurunkan angka kematian mingguan ke tahap terendah sejak pertengahan April lalu.
Sehingga kini, Indonesia sudah menerima 273.6 juta dos vaksin walaupun pada awalnya terdapat kelewatan untuk mendapatkan stok vaksin dari pengedar diperingkat global.
Jumaat lalu, Kementerian Penerangannya dalam satu kenyataan memaklumkan pihak kerajaan menyasarkan untuk menberikan vaksin kepada hampir 208 juta penduduknya di Republik itu.
Selain itu, Kementerian akan menubuhkan lebih banyak pusat vaksinasi dengan bantuan pihak polis, tentera dan anggota risikan untuk memberikan maklumat kepada rakyat yang masih ragu-ragu akan keberkesanan vaksin dengan meningkatkan pengesanan data melalui aplikasi disediakan, kata Jurucakap Pasukan Petugas Covid-19, Wiku Adisasmito khamis lalu.