Indonesia bebas ‘fasa kritikal’ pandemik Covid-19

Ikatan Doktor Indonesia (IDI) menilai republik itu sudah hampir bebas dari ‘fasa kritikal’ pandemik Covid-19 kerana angka kes jangkitan merekodkan trend penurunan secara ketara sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Pengurus Besar IDI, Adib Khumaidi memaklumkan keadaan pandemik di republik itu ketika ini sangat berbeza berbanding sebelum ini yang pernah merekodkan kes jangkitan lebih dari 56,757 sehari.

“Kita sudah bebas dari kemelut itu, mudah-mudahan kita dapat kembali kepada keadaan seperti sedia kala.

“Apa yang harus kita lakukan pada masa ini adalah dengan memastikan keadaan tetap terkawal dan kembali memulihkan sistem kesihatan Indonesia,” jelasnya.

Adib turut meramalkan pandemik Covid-19 di republik itu akan memasuki fasa endemik menjelang Tahun Baharu 2022 sekiranya kes jangkitan terus menunjukkan penurunan.

Dengan itu, semua penduduk di Indonesia diingatkan supaya tidak terlalu selesa dengan keadaan ini kerana gelombang jangkitan baharu boleh melonjak pada bila-bila masa jika mereka leka.

“Sekiranya Januari depan negara kita tidak menunjukkan lonjakan kes yang tinggi, maka kita akan beralih masuk ke fasa endemik,” jelasnya.

Namun begitu, Adib turut mengingatkan pihak kerajaan agar terus bersiap sedia akan sebarang kemungkinan, termasuk menyediakan sistem sokongan kesihatan yang lengkap bagi menghadapi gelombang jangkitan baharu.

Indonesia semalam melaporkan 163 kes jangkitan baharu dan 7 kematian akibat Covid-19.

Sehingga kini, Indonesia masih mendominasi tangga teratas untuk kes jangkitan dan kematian tertinggi di Asia Tenggara dengan merekodkan 4,259,143 kes jangkitan dan 143,929 korban akibat Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR