Indonesia bakal keluarkan kit khas kesan varian Omicron

Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin memaklumkan republik itu bakal menghasilkan kit reagen khas, S Gene Target Failure (SGTF) untuk mengesan jangkitan varian Omicron.

Sebelum ini, Budi menjelaskan perbezaan antara ujian saringan PCR biasa dan ujian PCR SGTF terletak pada kit reagen khas yang diperlukan untuk SGTF.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan Republik Indonesia bakal bekerjasama dengan pihak Universiti terlibat bagi menghasilkan alat khas tersebut, dengan mengharapkan reagen itu boleh menjalankan ujian SGTF yang akan dikeluarkan dalam tempoh kurang daripada tiga bulan dari sekarang.

Sehingga kini, kementerian itu juga sudah mengedarkan beberapa kit ujian SGTF di laluan pintu masuk negara itu, sama ada melalui jalan darat, laut atau udara.

“Tindakan tersebut diharap dapat mengurangkan kadar penularan varian Omicron di republik itu,” jelasnya lagi.

Pengetua Fakulti Kedoktoran Universiti Indonesia, Tjandra Yoga Aditama menjelaskan metod SGTF boleh dilakukan ketika Polymerase Chain Reaction (PCR) tidak mampu mengesan Gen S.

Kebiasaannya, beliau berkata, apabila individu melakukan ujian PCR, biasanya akan ada hasil berupa angka yang menunjukkan iaitu CT Value, terdiri dari keterangan gen pada sampel yang diambil.

Apabila hasil dari PCR itu tidak mengesan adanya Gen S, maka individu tersebut dianjurkan untuk melakukan proses jujukan genom penuh (WGS).

Sementara itu, kerajaan Indonesia juga sudah memutuskan untuk meningkatkan lebih banyak ujian saringan PCR bagi mana-mana ketibaan antarabangsa dan menetapkan tempoh kuarantin mandatori selama tiga hari kepada pengembara yang tiba di republik itu.

Semalam, Indonesia melaporkan 120 kes baharu dan 8 kematian akibat jangkitan Covid-19, menjadikan angka kes di republik itu sudah mencecah lebih 4.3 juta jangkitan dan melibatkan 144,063 korban sejak tahun lalu.

Setakat ini, Indonesia berjaya mengesan 46 kes jangkitan Covid-19 dari varian Omicron, dengan kes pertama direkodkan pada 16 Disember lalu, melibatkan seorang petugas kebersihan di Hospital Wisma Atlet Jakarta. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR