India rekod kematian harian tertinggi sejak Julai, 2,426 maut

India hari ini melaporkan kes kematian harian tertinggi akibat komplikasi Covid-19 sejak Julai setelah dua negeri mengemas kini data masing-masing.

Negeri di timur negara itu, Bihar, menambah 2,426 jumlah kematian tidak direkod, sementara negeri di selatan, Kerala, menambah 263 kes kematian, lapor Kementerian Kesihatan India.

Data yang dikemas kini itu menjadikan jumlah kematian harian kepada 2,796 kes, tertinggi sejak 21 Julai lalu, menurut pengiraan Reuters.

Gelombang kedua yang dahsyat melanda India pada Mac dan April tahun ini menyaksikan beribu-ribu kematian dan berjuta-juta rakyat negara itu yang terjejas.

Jumlah kematian di beberapa negeri di India yang terus meningkat tetapi tidak dilaporkan, menyebabkan pakar perubatan berpendapat angka itu jauh lebih tinggi daripada jumlah kumulatif yang dilaporkan sebanyak 473,326 kes.

Sementara itu, India turut melaporkan kes kelima positif varian Omicron di New Delhi.

Kes Omicron sebelum ini dilaporkan di Karnataka, Jamnagar di Gujarat dan Maharashtra. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR