India lapor 159,632 kes baharu, sekatan diperketat kekang Omicron

India melaporkan 159,632 kes baharu Covid-19 pada Ahad (9 Januari 2022), ketika varian Omicron terus merebak dengan cepat di negara itu, mendorong beberapa kerajaan negeri untuk mengenakan sekatan baharu.

Negeri terkaya di India, Maharashtra, kerajaan berkata kolam renang dan gimnasium akan ditutup mulai Isnin.

Sekolah dan kolej pula ditutup sehingga 15 Februari selepas jangkitan harian di negeri itu melonjak kepada lebih 41,000 kes.

Kerajaan negeri berkata hanya individu yang lengkap divaksinasi dibenar berkerja dari pejabat swasta, dengan kapasiti 50 peratus kakitangan.

Di negeri jiran, Gujarat, pihak berkuasa melanjutkan tempoh perintah berkurung waktu malam dan membatalkan cuti semua kakitangan penjagaan kesihatan.

Perdana Menteri Narendra Modi akan mempengerusikan mesyuarat untuk mengkaji semula situasi Covid-19 pada Ahad, menurut sumber kerajaan.

Kementerian Kesihatan India juga melaporkan 327 kematian, menjadikan jumlah rasmi sejak awal pandemik itu mencecah 483,790.

Jumlah terkumpul kes positif di negara itu kini melebihi 35.52 juta. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR