India digesa jaga hak asasi manusia di Jammu, Kashmir

Kehadiran jumlah anggota tentera India yang tinggi di Jammu dan Kashmir boleh menyebabkan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia.

Kehilangan autonomi pada Ogos 2019 dan pengenalan undang-undang baharu akan mengurangkan perwakilan politik dan penyertaan parti tempatan di negeri Jammu dan Kashmir yang ditadbir India, menurut pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kekhuatiran itu disuarakan oleh lima pelapor khas PBB dalam sepucuk surat kepada pemerintah India pada 10 Februari yang disiarkan kepada umum oleh PBB semalam (Sabtu).

Pelapor khas itu dihantar untuk menyiasat isu minoriti, promosi, dan perlindungan hak atas kebebasan berpendapat dan bersuara; hak kebebasan berhimpun dan berpersatuan secara aman; diskriminasi kaum; xenofobia dan kebebasan beragama.

Mereka memaklumkan bahawa etnik seperti Kashmir, Dogri, Gojri, Pahari, Sikh, Ladakhi, dan minoriti lain kurang mempunyai wakil dan penyertaan dalam politik kerana ‘penghapusan kuasa daerah untuk membuat perundangan’.

Sebelum 5 Ogos 2019, negeri Jammu dan Kashmir yang ditadbir India, adalah satu-satunya negeri di India yang mempunyai perlembagaan sendiri dan dewan rakyat yang dapat membuat undang-undang.

New Delhi juga menghapuskan Artikel 35A dan menyekat orang luar daripada membeli hartanah atau memohon pekerjaan di jabatan kerajaan di wilayah itu.

Selain itu, negeri Jammu dan Kashmir juga dipecah kepada dua wilayah iaitu Ladakh serta Jammu dan Kashmir. Pentadbiran Jammu dan Kashmir sekarang ini dilakukan terus oleh New Delhi.

Pada masa ini tidak ada anggota komuniti Muslim Kashmir, etnik terbesar di negeri itu, yang bertugas di pejabat gabenor.

Pelapor Khas PBB juga menegaskan undang-undang baharu kewarganegaraan akan menyebabkan perubahan demografi, risiko linguistik dan budaya serta kebebasan beragama, bagi penduduk Jammu dan Kashmir.

“Kehadiran jumlah anggota tentera yang tinggi di kawasan itu juga kemungkinan boleh menyebabkan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia,” kata pelapor dalam surat mereka.

Mereka juga mengingatkan kerajaan India mengenai keadaan hak asasi manusia di Jammu dan Kashmir semakin membimbangkan, termasuk tindakan minoriti India terhadap umat Islam. – Agensi