Indeks Rasuah, kedudukan Thailand merosot enam anak tangga

Kedudukan Thailand jatuh enam anak tangga dengan skor 35 pada Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam sektor awam yang dikeluarkan Transparency International 2021, meletakkannya di kedudukan ke-110 berbanding 104 pada 2020.

Transparency International dalam satu kenyataan berkata inersia pada indeks berterusan di sepanjang Sungai Mekong di Laos (30), Thailand (35) dan Vietnam (39), menurut laporan Bernama.

Denmark, Finland dan New Zealand memperoleh skor 88 berkongsi tempat teratas dalam laporan CPI yang dikeluarkan hari ini manakala Norway, Singapura dan Sweden (85) menduduki tempat keempat.

Purata skor global kekal tidak berubah untuk tahun kesepuluh berturut-turut, pada hanya 43 daripada kemungkinan 100 mata.

Transparency International berkata 131 negara tidak menunjukkan kemajuan yang ketara terhadap rasuah dalam dekad yang lalu manakala dua pertiga daripada negara itu mencatatkan skor di bawah 50, menunjukkan bahawa mereka mempunyai masalah rasuah yang serius, dan 27 negara mendapat skor terendah yang pernah mereka capai.

New Zealand mencatat skor 88 sebagai pencapaian terbaik di Asia Pasifik diikuti Singapura (85) dan Hong Kong (76).

Bagaimanapun, ia berkata kebanyakan negara berada di bawah purata global 43, termasuk tiga negara dengan beberapa markah terendah di dunia – Kemboja (23), Afghanistan (16) dan Korea Utara (16).

CPI menyenaraikan 180 negara dan wilayah di seluruh dunia mengikut tahap persepsi rasuah sektor awam mereka.

Keputusan diberikan pada skala 0 (sangat korup) hingga 100 (sangat bersih).

BERITA BERKAIT
POPULAR