Imej satelit tunjuk peningkatan tentera Russia dekat Ukraine

Imej satelit baharu yang dirakam oleh firma Amerika Syarikat (AS) menunjukkan Russia terus memperkukuhkan kedudukan pasukan tenteranya di Crimea dan berhampiran Ukraine dalam beberapa minggu kebelakangan ini sambil mendesak AS berbincang mengenai jaminan keselamatan yang dikehendakinya.

Agensi berita Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan secara bebas imej terkini daripada Maxar Technologies yang berpangkalan di AS.

Terdahulu, Kremlin hari ini mengulangi bahawa Russia berhak untuk menggerakkan tenteranya di wilayah sendiri sebagaimana yang difikirkan perlu dan menuduh negara-negara Barat sedang melakukan gerakan provokatif berhampiran sempadannya.

Pemimpin AS, Eropah dan Ukraine menuduh Russia menambah kekuatan tentera berhampiran sempadan Ukraine sejak Oktober setelah melakukannya secara kecil-kecilan pada April apabila Maxar turut mengeluarkan imej satelit ketika itu.

Presiden AS Joe Biden dan pemimpin lain berkata Moscow merancang serangan ke atas Ukraine dipercayai akan dilakukan bulan depan, sesuatu yang Russia nafikan berulang kali.

Imej-imej satelit yang diterbitkan lewat Khamis menunjukkan pangkalan di Crimea, yang ditawan Russia dari Ukraine pada 2014, dipenuhi ratusan kenderaan berperisai dan kereta kebal setakat 13 Disember lalu.

Imej satelit Maxar yang dirakam lebih awal pada Oktober lalu menunjukkan hanya separuh sahaja pangkalan itu digunakan.

Maxar berkata satu briged baharu tentera yang terdiri daripada beberapa ratus kenderaan berperisai, termasuk kenderaan tempur infantri siri BMP, kereta kebal, artileri dan peralatan pertahanan udara, telah tiba di pangkalan Russia.

“Sejak sebulan lalu, imej satelit resolusi tinggi kami telah memerhatikan beberapa penempatan baharu Russia di Crimea serta di beberapa kawasan latihan di barat Russia di sepanjang pinggir sempadan Ukraine,” kata Maxar dalam satu kenyataan.

Ia memetik peningkatan aktiviti di tiga pangkalan di Crimea dan lima di barat Russia. – Reuters

BERITA BERKAIT
POPULAR