Hospital Thailand hadapi tekanan hebat akibat krisis Covid-19

Penularan wabak Covid-19 di Thailand yang semakin meluas memberi tekanan cukup hebat kepada pihak hospital, sehingga pesakit terpaksa dirawat di tempat letak kereta, manakal pesakit kritikal terpaksa dibiarkan sehingga meninggal dunia kerana fasiliti kesihatan yang terhad.

Majoriti hospital di Thailand sudah pada tahap maksimum dan kebanyakkan pesakit perlu melakukan pengasingan kendiri di rumah.

Ketua Bahagian Penyakit Berjangkit Universiti Thammasat, Prof Anucha Apisarnthanarak berkata ramai pesakit yang tidak mempunyai tempat sesuai untuk melindungi mereka.

“Sementara bilik rawatan di hospital telah penuh, mereka mesti melakukan pengasingan kendiri di rumah atau di tempat lain.

“Pesakit yang melakukan kuarantin kendiri di rumah berisiko untuk menjangkiti anggota keluarga yang lain dan dalam keadaan ini, di mana suntikan vaksin belum diberikan secara meluas, ia sangat membimbangkan,” katanya.

Tahun lalu, Thailand telah dijadikan contoh oleh negara lain kerana mencatatkan kes jangkitan Covid-19 yang terendah di dunia.

Namun, kini negara itu berdepan gelombang ketiga bermula April lalu susulan penularan varian Delta di pusat-pusat hiburan malam di Bangkok, selain di penjara, kilang, tapak pembinaan dan kawasan penduduk padat.

Dalam tempoh empat bulan, jumlah kematian telah melonjak dari 100 kes ke 4,146 kes semalam.

Menurut sukarelawan perubatan, terdapat ramai pesakit yang meninggal dunia di rumah ketika kuarantin kendiri kerana majoriti hospitalnya telah dipenuhi dengan pesakit Covid-19.

Minggu lalu, terdapat kes kematian di jalan-jalan di Bangkok termasuk satu kes dimana mayatnya dibiarkan di kaki lima jalan selama berjam-jam sebelum diuruskan dan hal ini telah menimbulkan kemarahan orang ramai.

Tindakan dari pihak kerajaan dalam menyelesaikan masalah itu dikatakan lambat dan perlu mengubah strategi bagi menyelesaikannya. Mereka perlu mencari vaksin yang berkualiti dan memberikan kepada semua rakyatnya secepat mungkin.

“Thailand sedang bergelut untuk mendapatkan bekalan vaksin sedangkan negara-negara lain sedang mendorong rakyatnya untuk diberikan suntikan vaksin,” kata seorang sukarelawan.

Kerajaan Thailand telah dikecam hebat kerana tidak melaksanakan sekatan penutupan lebih awal ketika jumlah kes jangkitan berada pada tahap rendah sejak beberapa bulan lalu.

Sekatan hanya dilakukan setelah keadaan semakin serius susulan penularan varian Delta di seluruh wilayahnya.

Kerajaan Thailand juga mengakui kes pesakit Covid-19 menunjukkan jumlah yang tinggi melebihi kapisiti ujian saringan PCR harian.

Semalam, terdapat ramai ahli akademik dan media yang mengeluarkan kenyataan meminta agar kerajaan Thailand memberikan perincian yang lebih khusus tentang tarikh dan jenis suntikan yang akan diterima serta bilakah dos vaksin akan dihantar ke Thailand.

Sebelum ini, tular surat dari AstraZeneca yang memaklumkan hanya 6 peratus dos vaksin yang diagihkan kepada Thailand, bertentangan dengan maklumat diberikan kerajaan. Thailand merupakan hab serantau untuk pengeluaran vaksin AstraZeneca.

Namun, pengeluaran oleh syarikat milik kerajaan Siam BioScience mengalami sedikit kelewatan.

Melalui data Our World, hanya kira-kira 5 peratus penduduk Thailand yang telah diberikan suntikan vaksin sepenuhnya, manakala 17 peratus lagi telah menerima satu dos suntikan vaksin. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR