Hospital Australia belum bersedia ‘hidup dengan Covid’

Ketika beberapa negeri di Australia bersiap sedia untuk ‘hidup bersama Covid-19’, doktor negara itu memberi amaran hospital tidak bersedia untuk berdepan rancangan kerajaan menamatkan perintah sekatan dan ‘lockdown’, walaupun kadar pemberian vaksin meningkat.

Persatuan Perubatan Australia (AMA) berkata sistem kesihatan berada dalam bahaya apabila berdepan pusingan krisis berterusan dan menggesa model baharu untuk menyemak sekiranya kakitangan hospital mampu bersedia terhadap lonjakan kes jika ‘lockdown’ ditarik balik.

“Jika anda membukanya semula tetapi tidak melihat kepada jaringan keselamatan atau kehidupan, kita mungkin berakhir dengan menenggelamkan orang ramai,” kata Naib Presiden AMA, Chris Moy.

Pada Julai lalu, Australia memperkenalkan pelan empat peringkat untuk kembali kepada hidup yang lebih bebas apabila negara itu mencapai tahap 70 peratus hingga 80 peratus vaksinasi.

Namun, Queensland dan Australia Barat menolak rancangan itu kerana keputusan berkenaan dibuat ketika kes jangkitan Covid-19 di New South Wales, masih rendah.

Hari ini New South Wales merekodkan 1,288 jangkitan baharu, rendah sedikit daripada jumlah tertinggi yang dicatatkan pada Isnin sebanyak 1,290. Tujuh lagi kematian turut dilaporkan hari ini.

Daripada jumlah itu 957 dirawat di hospital meningkat daripada 698 seminggu lalu, sementara pesakit unit rawatan rapi (ICU) pula melonjak hampir 40 peratus kepada 160 kes, manakala 64 lagi memerlukan bantuan alat pernafasan.

Pihak berkuasa kesihatan New South Wales telah menambah jumlah alat bantuan pernafasan di ICU menjadi 2,000 pada awal tahun lalu, tetapi Moy berkata kerajaan perlu memberi tumpuan kepada kakitangan hospital sebelum melonggarkan perintah sekatan dan ‘lockdown’.

“Ia bukan hanya jumlah alat bantuan pernafasan, ia bukan jumlah unit ICU. Ianya adalah jumlah kakitangan dan individu yang perlu berdepan dengan masalah ini apabila kita membuka semula negara,” katanya.

Jumlah kes yang melambung tinggi juga menyebabkan negeri Victoria mengikut jejak langkah New South Wales dalam mengetepikan sasaran sifar Covid-19, sebaliknya kedua-dua negeri itu kini meningkatkan program vaksinasi sebagai strategi mencapai kebebasan, setelah gagal mengawal penularan varian Delta.

Victoria hari ini merekodkan 176 jangkitan baharu, melonjak tinggi berbanding 120 kes semalam.

Australia sebelum ini dilihat antara negara yang mampu mengawal pandemik itu, malah pada awalnya hanya merekodkan 1,019 kematian dan 56,500 kes positif.

Namun, program vaksinasi yang perlahan menyebabkan sekarang ini lebih ramai penduduknya yang dijangkiti dan dimasukkan ke hospital. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR