Hospital AS buat persediaan hadapi bencana akibat lonjakan Omicron

Lonjakan jangkitan varian Omicron menyebabkan hospital di Midwest, Amerika Syarikat (AS) membuat persediaan menghadapi bencana paling teruk, dengan unit rawatan rapi (ICU) dan kakitangan sudah pun tertekan akibat gelombang varian Delta sebelum ini.

Indiana, Ohio dan Michigan lebih teruk dilanda penularan varian itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini, berbanding negeri-negeri lain. Kira-kira satu daripada empat katil hospital mereka menempatkan pesakit Covid-19, menurut data Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan (HHS) AS.

Kesannya lebih besar dalam ICU mereka, dengan satu pertiga atau lebih katil menempatkan pesakit Covod-19, menurut HHS.

Jumlah populasi dalam hospital di Ohio meningkat lebih dua kali ganda sejak awal November, dan tekanan ke atas kapasiti sistem kesihatan amat meruncing di bahagian timur laut negeri itu yang termasuk Cleveland, kata jurucakap Persatuan Hospital Ohio (OHA), John Palmer.

“Jika trend kemasukan ke hospital ini terus meningkat, ia akan mencapai titik kemusnahan,” kata. OHA mewakili 250 hospital dan 15 sistem kesihatan.

Dengan 78 peratus katil dan 81 peratus katil ICU telah diisi, hospital Ohio menangguhkan pembedahan elektif dan memindahkan beberapa pesakit ke kemudahan lain dengan menjangkakan lonjakan Omicron selepas cuti sambutan Krismas dan Tahun Baharu, kata Palmer.

Minggu lalu, Gabenor Ohio Mike DeWine menggerakkan lebih daripada 1,000 Pengawal Kebangsaan, termasuk 150 profesional terlatih perubatan, untuk mengurangkan beban kakitangan hospital.

“Kami mengharapkan yang terbaik tetapi kami sedang bersiap untuk yang terburuk apabila ianya melibatkan Omicron. Realitinya ialah kami mempunyai ramai warga Ohio yang tidak divaksinasi,” kata Palmer.

Hanya 55 peratus daripada populasi Ohio yang layak telah lengkap divaksinasi, jauh di bawah purata kebangsaan hampir 62% peratus, menurut data dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Mereka yang tidak diberi vaksin sepenuhnya menyumbang 94 peratus daripada pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital di Ohio tahun ini hingga 15 Disember, menurut data negeri. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR