Hong Kong tarik balik sekatan penerbangan ke atas 9 negara

Hong Kong menarik balik sekatan penerbangan dari Amerika Syarikat (AS), Britain dan tujuh negara lain, mulai 1 April ini, kata Ketua Eksekutif hab kewangan itu, Carrie Lam.

Wilayah eksklusif China itu sebelum ini bergelut untuk mengekalkan dasar sifar Covid-19 ketika peningkatan penularan berpunca daripada varian Omicron yang merebak pantas.

Selepas varian yang sangat mudah menular itu mencetuskan gelombang baharu pada Januari, pihak berkuasa Hong Kong pantas mengenakan larangan penerbangan dari lapan negara yang dianggap berisiko tinggi, termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis dan Indi, dan pada Februari memasukkan Nepal ke dalam sebarai itu.

Bagaimanapun, bilangan jangkitan melonjak pantas dengan Hong Kong merekodkan lebih sejuta kes dan 5,600 kematian dengan kebanyakan mangsa itu daripada kalangan warga emas yang tidak divaksinasi.

“Situasi wabak di sembilan negara itu tidak lebih buruk dari Hong Kong, dan kebanyakan pengembara yang tiba tidak mempunyai gejala serius. Justeru, jika kita terus melanjutkan pemutus litar, ia akan menambah kebimbangan penduduk Hong Kong yang terkandas di sana.

“Tempoh kuarantin untuk ketibaan yang diberi vaksin juga akan dikurangkan kepada tujuh hari di hotel yang ditetapkan, diikuti oleh tujuh hari lagi pemantauan di rumah,” katanya.

Pada masa ini, penduduk Hong Kong yang berusaha pulang dari kebanyakan destinasi perlu menghadapi tempoh kuarantin selama dua minggu di hotel membabitkan kos yang mahal.

Selain itu, Lam turut mengumumkan bahawa mulai 19 April, tadika, sekolah rendah dan sekolah antarabangsa akan memulakan semula pengajaran secara bersemuka. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR