Hong Kong lulus suntik vaksin kepada kanak-kanak 3 tahun

Hong Kong meluluskan penurunan had umur pengambilan vaksin Covid-19 jenis Sinovac bermula seawal usia tiga tahun bagi memperluaskan inisiatif pemberian vaksin Covid-19 kepada lebih 7.5 juta populasinya.

Setiausaha Makanan dan Kesihatan (SFH) Hong Kong, Sophia Chan memaklumkan remaja berumur 12 hingga 17 tahun akan diberi keutamaan untuk menerima vaksin Covid-19.

Menurut kenyataan tersebut, SFH berharap bahawa keputusan untuk meluluskan had kelayakan umur itu adalah cara terbaik bagi melindungi golongan kanak-kanak yang berumur tiga hingga 17 tahun kerana mereka ‘lebih berisiko’ dijangkiti.

Sebelum ini, panel penasihat kerajaan menggesa SFH untuk meluluskan had umur baharu itu.

Penurunan kelayakan umur dilaksanakan memandangkan program vaksinasi di hab kewangan Asia itu pada Februari lalu agak ketinggalan berbanding negara maju lain, dengan hanya 67 peratus daripada populasinya lengkap divaksinasi dengan vaksin jenis Sinovac atau Pfizer-BioNTech.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan pada Jumaat lalu, kerajaan Hong Kong sudah membeli sejuta dos tambahan vaksin Pfizer-BioNTech untuk perlaksanaan dos penggalak vaksin Covid-19.

Sebelum ini, Hong Kong sudah mengikuti jejak Beijing dalam melaksanakan sekatan perjalanan ketat untuk mencegah penularan wabak Covid-19 baharu, berbeza dengan negara global lain yang melakukan pembukaan semula negara dan cuba hidup dengan virus itu.

Manakala, kumpulan pelobi perniagaan antarabangsa sudah memberi amaran kepada Hong Kong akan kehilangan peluang dan pelaburan, serta tempat bersaing untuk menyaingi hab kewangan dari negara lain seperti Singapura, melainkan jika ia melonggarkan sekatan perjalanannya.

Walaupun kes jangkitan tempatan terkini dan di persekitarannya hampir bebas daripada Covid-19, namun Hong Kong tetap mengenakan arahan kuarantin wajib di hotel selama 21 hari untuk ketibaan daripada banyak negara dengan kos tanggungan sepanjang tempoh kuarantin itu akan dikenakan ke atas pelawat yang masuk. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR