
Ferdinand Hutahaean dipenjara lima bulan.
Mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap seorang ahli politik beragama Kristian kerana ucapan kebencian menghina agama Islam dalam media sosial.
Ferdinand Hutahaean, 56, seorang ahli politik Protestan, didakwa mengeluarkan ucapan kebencian menerusi komen dalam media sosial yang menyinggung agama, etnik dan perkauman.
Hutahaean, bekas ahli politik Parti Demokrat disabitkan kesalahan pada 19 April di Mahkamah Daerah Jakarta Pusat atas pertuduhan melanggar Kanun Jenayah kerana sengaja menyebarkan ucapan kebencian.
“Defendan Ferdinand Hutahaean didapati bersalah dengan sengaja menyebarkan berita palsu yang menyebabkan kekecohan dalam masyarakat,” kata Pengerusi Majlis Hakim, Suparman Nyompa semasa menjatuhkan hukuman tersebut.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap defendan dan hukuman itu diringankan kerana dia ditahan.
Hutahaean ditahan selepas dua individu membuat laporan polis terhadapnya pada 5 Januari lalu dengan menuduhnya menghina Islam dalam ciapan di Twitter.
Untuk rekod, defendan sebelum ini kalah dalam Pilihan Raya Parlimen selepas gagal memenangi kerusi Dewan Undangan Negara pada 2019.
Dia ditahan pada 10 Januari berikutan bantahan orang ramai terhadap ciapannya di Twitter selepas mengejek umat Islam dengan menggelar Tuhan mereka “lemah”.
Tweet itu berkata: “Kaishan sekali Allahmu ternyata lemah harus dibela. Kalau aku sih Allahku luar biasa, maha segalanya, DIA lah pembelaku selalu dan Allahku tak perlu dibela.”
Mahkamah meringankan hukuman terhadap Hutahaean dengan mengurangkan tempoh tujuh bulan hukuman penjara daripada yang dicadangkan pendakwa raya.