Hasil ujian klinikal imunisasi budak bawah 5 tahun April: Pfizer

Pfizer Inc menjangkakan keputusan terkini daripada ujian klinikal imunisasi untuk kanak-kanak di bawah usia lima tahun daripada vaksin Covid-19 yang dibangunkannya bersama BioNTech SE Jerman, menjelang April, kata saintis syarikat terkemuka yang dipetik Reuters.

“Kajian itu telah dipinda untuk memberikan dos ketiga kepada semua kanak-kanak berumur kurang daripada lima tahun sekurang-kurangnya lapan minggu selepas vaksinasi terakhir mereka,” kata Dr Alejandra Gurtman, seorang penyelidik vaksin Pfizer pada mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mengenai Amalan Imunisasi (ACIP).

Beliau berkata syarikat itu menyasarkan untuk memperoleh data untuk kumpulan umur berkenaan pada akhir Mac atau awal April.

Disember lalu, Pfizer berkata firma itu mengubah reka bentuk percubaan kerana kanak-kanak berumur antara dua dan empat tahun yang diberi dua dos 3 mikrogram vaksin tidak mempunyai tindak balas imun yang sama seperti dos vaksin yang lebih besar yang dihasilkan remaja.

Gurtman juga berkata syarikat itu sedang mengkaji dos ketiga vaksinnya pada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, enam bulan selepas dos kedua mereka.

Vaksin Pfizer-BioNTech dibenarkan di AS untuk individu berumur lima tahun dan ke atas. Pada Rabu, ACIP menyokong suntikan penggalak vaksin untuk kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun.

BERITA BERKAIT
POPULAR