Harapan elak Russia-Ukraine berperang semakin samar

Moscow mula mengosongkan kedutaannya di Kyiv, sementara Ukraine menggesa rakyatnya keluar dari Russia, tatkala wilayah itu berdepan konfrontasi berterusan setelah Presiden Vladimir Putin memperoleh kebenaran menggunakan tentera di luar negara, sementara Barat membalas dengan mengenakan sekatan.

Harapan untuk jalan keluar diplomatik daripada perang baharu yang berpotensi membinasakan di Eropah kelihatan semar apabila Amerika Syarikat (AS) dan sekutu utama Eropah menuduh Moscow ‘melintasi garis merah’ apabila memisahkan sempadan Ukraine dengan dua wilayah pemisah – dengan sesetengah pihak menggelarnya sebagai pencerobohan.

Russia mula menarik kakitangan diplomatiknya di Ukraine, lapor agensi berita negara itu, Tass, sehari selepas Kementerian Luar mengumumkan rancangan untuk pemindahan dengan memberi alasan ancaman.

Menjelang petang Rabu, bendera Russia tidak lagi berkibar di atas kedutaan di Kyiv, menurut jurugambar Associated Press. Polis Ukraine kemudian mengepung bangunan itu.

Setelah berminggu-minggu cuba menunjukkan ketenangan, pihak berkuasa Ukraine mula melahirkan kebimbangan yang semakin meningkat pada Rabu.

Kementerian Luar menasihatkan rakyat Ukraine supaya tidak melakukan perjalanan ke Russia dan mencadangkan rakyatnya keluar dari negara itu, mengatakan ‘pencerobohan’ Moscow boleh membawa kepada pengurangan ketara dalam perkhidmatan konsular.

Ketua Majlis Keselamatan dan Pertahanan Ukraine menggesa keadaan darurat diisytiharkan di seluruh negara – tertakluk kepada kelulusan Parlimen.

Oleksiy Danilov berkata terpulang kepada pihak berkuasa serantau untuk menentukan langkah yang akan dikenakan, tetapi ia boleh termasuk perlindungan tambahan untuk kemudahan awam, sekatan ke atas lalu lintas, dan pemeriksaan pengangkutan dan dokumen tambahan.

Tanda-tanda ketegangan yang semakin memuncak terus kelihatan apabila Kyiv memanggil semula dutanya ke Russia dan mempertimbangkan untuk memutuskan semua hubungan diplomatik dengan Moscow.

Puluhan negara kini mengenakan tindakan terhadap individu yang berkuasa ke atas Moscow, menyekat bank Russia dalam pasaran antarabangsa, sementara Jerman menghentikan perjanjian saluran paip gas dengan Russia, manakala AS menempatkan semula tentera tambahan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Menyusul ancaman perang itu, ekonomi Ukraine berdepan keruntuhan, sementara kekurangan tenaga di seluruh Eropah selain kekacauan ekonomi peringkat global. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR