Hanya pelancong divaksin boleh masuk Phuket

Sektor pelancongan di Phuket, Thailand dibuka semula secara rasmi hari ini selepas ditutup beberapa bulan akibat pandemik Covid-19, dengan Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha, hadir memantau kemasukan pelancong asing.

Dianggarkan kira-kira 400 pelancong asing tiba di Phuket hari ini melalui penerbangan pertama dari Israel, Abu Dhabi, Qatar dan Singapura, tetapi hanya individu yang sudah divaksin dibenar masuk.

Thailand dilaporkan kehilangan sekitar AS$50 bilion hasil pendapatan pelancongan pada tahun 2020.

Kerajaan Thailand menjangkakan sekitar 100,000 pelancong asing akan mengunjungi Phuket pada suku ketiga tahun ini dan menjana pendapatan sebanyak 8.9 bilion baht (AS$278 juta).

Prayuth yang terbang ke Phuket untuk memantau pembukaan semula pulau itu, memaklumkan bahawa Thailand merancang membuka semula sempadannya pada Oktober.

“Kami tahu ada risiko tetapi kami harus menerima risikonya sehingga orang Thailand dapat mencari nafkah,” kata Prayuth tatkala pihak berkuasa negara itu terus berjuang untuk mengawal gelombang ketiga pandemik Covid-19.

Thailand hari ini melaporkan 57 kes kematian akibat Covid-19 dan hari kedua berturut-turut mencatatkan kematian yang tinggi.

Kematian terbaru menjadikan jumlah kematian di Thailand menjadi 2,080 sejak wabak itu bermula. Pasukan petugas Covid-19 negara ini juga melaporkan 5,533 kes baharu, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 264,834 kes.

Terdahulu, 25 pelancong pertama dengan penerbangan Etihad Airways tiba tengah hari tadi di lapangan terbang Phuket dan mereka menjalani beberapa prosedur kesihatan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR