Hampir separuh penduduk Jakarta dijangkiti Covid-19: Kajian

Jakarta dan enam wilayah lain di Indonesia dikenakan perintah darurat bagi mengekang penularan Covid-19. - Gambar AFP

Hampir separuh daripada penduduk Jakarta telah dijangkiti wabak Covid-19 – melebihi 12 kali ganda daripada kes yang dilaporkan secara rasmi ketika satu kajian kesihatan dilakukan pada 15 hingga 31 Mac lalu.

Kajian itu diterbitkan 10 Julai lalu. Hasil ujian bagi mengesan antibodi coronavirus dalam darah ke atas kira-kira 5,000 individu di ibu negara Indonesia itu mendapati 44.5 peratus daripada mereka menunjukkan telah dijangkiti Covid-19 sejak tempoh ujian itu dijalankan.

Kajian itu dilakukan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Wilayah Jakarta, Fakulti Kesihatan Masyarakat Universiti Indonesia, Institut Biologi Molekul Eijkman dan staf Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) berpangkalan di Indonesia.

Jakarta mempunyai populasi seramai kira-kira 10.6 juta. Mengikut data kajian itu hampir 4.7 juta penduduk mungkin telah dijangkiti sehingga 31 Mac lalu.

“Melalui kajian ini kami boleh menganggarkan jumlah penduduk Jakarta yang dijangkiti Covid-19 sama ada menerusi ujian PCR atau tidak,” kata Ketua Kesihatan Wilayah Jakarta, Widyastuti.

Menurut data Kementerian Kesihatan Republik Indonesia, Jakarta merekodkan lebih daripada 382,000 kes Covid-19 ketika kajian berakhir 31 Mar lalu.

Namun, sehingga Selasa lalu, jumlah kes meningkat sebanyak 689,243 kes. Ini merupakan satu wabak yang terburuk di Asia.

Hospital di seluruh Republik ini terutamanya di Pulau Jawa, dipenuhi pesakit Covid, sementara beberapa bandar besar termasuk Jakarta dikenakan perintah sekatan dan penutupan, susulan penularan varian Delta.

Pakar epidemiologi Sekolah Kesihatan Umum Universiti Indonesia, Dr Pandu Riono berkata kawasan penduduk yang padan lebih terdedah kepada penularan wabak Covid-19.

Hasil laporan turut menemui jumlah antibodi tertinggi telah dikenal pasti bagi kumpulan umur 30 hingga 49 tahun dan kadar jangkitan terhadap wanita adalah lebih tinggi. – Agensi

POPULAR