Hamas terima 150 panggilan dalam 48 jam minta tidak serang Israel

Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menerima 150 panggilan dalam masa 48 jam daripada pelbagai pihak yang berusaha menghalang peperangan baharu tercetus di Semenanjung Gaza berikutan tindakan ganas berulang rejim Zionis Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Kedua-dua musuh ketat itu menunjukkan kesediaan untuk mengelak perang baharu di Semenanjung Gaza setelah pihak ketiga, termasuk Washington, meningkatkan usaha diplomatik

Sumber yang rapat dengan Hamas, pentadbir Semenanjung Gaza, memberitahu Amerika Syarikat (AS), pihak yang secara tradisinya tidak terlibat menjadi pengantara, secara tidak langsung mengambil pendekatan mendekati pergerakan itu bertujuan menurunkan suhu kemarahan penduduk Palestin di Gaza.

Lebih dua juta rakyat Palestin terkepungke Gaza – kawasan sebesar bandar Detroit di AS. Penduduk Palestin di Gaza hidup dalam tekanan susulan sekatan ekonomi dan ketenteraan rejim Zionis sejak 2006, dengan Semenanjung Gaza disifatkan sebagai “penjara terbuka terbesar di dunia”.

Roket mula ditembak dari Gaza ke Israel pada Isnin, dengan beberapa jam kemudian rejim Zionis itu bertindak balas melakukan serangan udara yang menyasarkan kedudukan Hamas.

Tindakan itu menimbulkan kebimbangan Mesir yang menjadi pendamai, yang setakat ini berjaya menjauhkan Semenanjung Gaza daripada terlibat secara langsung di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di tempat lain.

Pada bulan lalu, tentera Zionis membunuh sekurang-kurangnya 16 rakyat Palestin dalam beberapa serbuan di Tebing Barat yang diduduki secara haram, manakala 14 warga Israel terbunuh dalam empat serangan tunggal oleh rakyat Palestin.

Ketegangan memuncak minggu ini apabila tentera Israel terus menyerang umat Islam di Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis dan mengeluarkan mereka dari kompleks itu setiap hari untuk membolehkan pendatang Yahudi melawat tanah suci ketiga umat Islam.

Menurut sumber dan penganalisis politik tempatan, Hamas tidak berminat dengan perang baharu dan berpuas hati dengan hanya meningkatkan ‘bahasa ancaman’ satu pendirian yang ditunjukkan ketika komunikasi pantasnya dengan Mesir untuk menyampaikan bahawa mereka tidak bertanggungjawab dalam serangan roket itu.

Hamas, kata sumber, telah cuba membendung aktiviti sekutunya Jihad Islam Palestin (PIJ), menggunakan “bahasa yang tajam” dan amaran terhadap peningkatan unilateral berikutan ancaman terhadap Israel yang dibuat oleh setiausaha agungnya yang berpangkalan di Beirut, Ziad al- Nakhala.

Dalam perbincangan dengan pengantara Mesir, PIJ menafikan bertanggungjawab terhadap roket yang ditembak dari Semenanjung Gaza dan mengesahkan komitmennya terhadap keputusan yang dikeluarkan oleh Bilik Gerakan Bersama, yang terdiri daripada semua pejuang bersenjata utama di Gaza.

Sumber yang rapat dengan Jihad Islam mendedahkan bahawa kumpulan itu mendapat pengajarannya apabila Hamas meninggalkannya sendirian untuk menangani pembunuhan komander tenteranya, Baha Abu al-Atta, oleh Israel dua tahun lalu.

Kini, tambahnya, Jihad Islam telah menyedari bahawa sebarang peperangan dengan Israel mestilah dengan penyertaan penuh Hamas dan melalui keputusan yang dikeluarkan oleh Bilik Gerakan Bersama.

Sumber memberitahu dalam beberapa hari kebelakangan ini, Hamas menangkap anggota Jihad Islam yang cuba menembak rokat ke arah Israel dari Semenanjung Gaza atas dasar bertindak secara individu tanpa koordinasi dengan kepimpinan, dan merampas peralatan ketenteraan mereka.

Sejak tercetusnya keganasan terbaharu di Baitulmaqdis, dengan tentera rejim Zionis Israel menyerbu Masjid al-Aqsa empat kali pada minggu lalu, Hamas muncul sebagai pemain utama, dengan pengantara Arab dan asing yang mahu berhubung dengan mereka.

“Hamas telah menjadi pemain utama gerakan politik dan tulang belakang penentangan,” kata Zaher Jabarin, ahli biro politiknya yang menetap di luar negara.

Penulis politik, Mustafa Ibrahim memberitahu Israel bercakap mengenai AS menjadi pengantara secara tidak langsung dengan Hamas, kerana Washington tidak mahu perang yang akan mengalihkan perhatian daripada pertempuran Russia ke atas Ukraine.

Negara-negara Eropah juga berkomunikasi secara langsung dengan Hamas untuk matlamat yang sama, tambahnya.

Maklumat itu konsisten dengan apa yang telah dilaporkan dalam media Israel tentang penglibatan AS dan Turki dalam “pengantaraan” antara Hamas dan Israel.

Ibrahim berkata, berikutan hubungan Turki dengan Israel disambung semula, Ankara menyatakan kesediaannya menjadi pengantara dalam isu perjanjian pertukaran tahanan dengan Hamas, jika ia akan membawa kepada keamanan yang mampan.

Sementara itu, sumber Palestin yang rapat dengan Hamas berkata Israel telah meminta campur tangan pengantaraan dan menyampaikan mesej tidak langsung kepada Hamas bahawa ia tidak berminat dalam konfrontasi baharu ketenteraan dengan Gaza.

Sementara Israel menekankan kesungguhannya untuk mengekalkan keamanan di barisan hadapan Gaza, Ibrahim berkata, ia juga mengancam tindak balas ketenteraan yang tidak pernah berlaku sebelum ini jika diserang oleh pejuang Palestin di Gaza.

Melalui “rundingan tidak langsung” antara Hamas dan Israel yang dilakukan melalui pengantara, kedua-dua pihak telah menunjukkan keengganan mereka untuk memulakan peperangan baharu, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Jabarin berkata mesej Hamas kepada Israel adalah jelas tentang keperluan untuk menghentikan serangannya di Baitulmaqdis dan bandar-bandar di Tebing Barat yang diduduki secara haram.

Menurutnya, usaha pengantara tertumpu kepada mencari jalan keluar dan mencegah tercetusnya perang baharu di Gaza, yang musnah dalam serangan tentera Israel Mei tahun lalu sehingga menyebabkan 256 rakyat Palestin terbunuh. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR