Hamas ikrar terus pertahan Palestin

Pemimpin utama Pergerakan Perjuangan Islam Palestin, Ismail Haniyeh berkata rejim Zionis Israel bertanggungjawab penuh terhadap serangan berterusan ke atas penduduk awam di Semenanjung Gaza.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata serangan keji rejim Israel di kem pelarian Al-Shati pada Sabtu adalah lanjutan daripada pembantaian yang dilakukan ke atas pelbagai kawasan di Semenanjung Gaza.

Sekurang-kurangnya 10 orang awam Palestin, termasuk lapan kanak-kanak, terbunuh apabila pesawat rejim Israel mengebom dan memusnahkan kediaman mereka di kem berkenaan di barat bandar Gaza.

Pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis itu di Semenanjung Gaza, katanya, mendedahkan kegagalan dan dilema yang dihadapi Israel susulan tentangan hebat kumpulan pejuang.

Haniyeh berikrar bahawa kumpulan pejuang akan terus mempertahankan rakyat Palestin, menumpaskan musuh dan menghalang rejim Israel daripada meneruskan pembunuhan beramai-ramai.

Sebanyak 139 individu, termasuk 39 kanak-kanak dan 22 wanita, terbunuh manakala lebih 950 lagi ceder, dalam serangan berterusan rejim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sejak Isnin lalu.

Serangan udara ke atas Semenanjung Gaza adalah susulan tindakan ganas dan agresif askar serta polis rejim itu di wilayah diduduki secara haram di Baitulmaqdis Timur, di mana ratusan rakyat Palestin digempur oleh pasukan keselamatan dan pendatang haram Yahudi di Masjid Al-Aqsa dan penempatan Sheikh Jarrah.

Ketegangan merebak dari Baitulmaqdis Timur ke Semenanjung GAza selepas pejuang Palestin berikrar akan membalas serangan Israel sekiranya tidak dihentikan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR