Hamas akan balas keganasan rejim Zionis Israel

Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) memberi amaran rejim Israel bakal membayar harga yang mahal kerana menyerang rakyat Palestin di wilayah yang diduduki secara haram di Baitulmaqdis Timur.

Pemimpin kanan Hamas, Moussa Abu Marzouk dalam satu kenyataan berkata, rakyat Palestin mampu menghalang penjajahan rejim Tel Aviv dan melakar tirai baharu konflik dengan Israel.

“Penjajah Israel bakal membayar harga yang mahal kerana mencemari Masjid Al-Aqsa dan mengasari umat Islam yang beribadat di masjid itu,” kataya.

Abu Marzouk yang menyelar negara Arab dan Islam yang berdiam diri berhubung perkembangan baharu di Baitulmaqdis berkata, tindakan berdiam diri mendorong penjajah Israel untuk menyerang Masjid Al-Aqsa dan rakyat Palestin.

Beliau mengajak rakyat Palestin untuk mempertahankan Baitulmaqdis dengan segala cara yang mungkin bagi menghalang penjajahan berterusan rejim Zionis itu.

Beberapa negara Arab, termasuk Turki dan Iran mengutuk serangan Israel ke atas warga Palestin di Baitulmaqdis.

Sejak beberapa hari lalu, penduduk Palestin di Baitulmaqdis mengadakan tunjuk perasaan membantah tindakan rejim itu mengusir 40 keluarga Palestin dari rumah mereka di perkampungan Sheikh Jarrah.

Media melaporkan lebih 205 warga Palestin cedera ketika askar dan polis rejim Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa, Pintu Gerbang Damascus di Bandar Lama dan perkampungan Sheikh Jarrah. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR