Haiwan, tisu beri petunjuk pertama mengapa jangkitan Omicron ringan

January 1, 2022 · Dunia

Beberapa kajian baharu mengenai haiwan makmal dan tisu manusia memberi petunjuk pertama, mengapa varian Omicron menyebabkan jangkitan lebih ringan berbanding varian Covid-19 sebelumnya.

Dalam kajian terhadap tikus dan hamster, Omicron didapati menghasilkan jangkitan yang kurang memberi kerosakan – lebih terhad kepada saluran pernafasan atas: hidung, tekak dan tenggorokan.

Varian ini tidak banyak mendatangkan kemudaratan terhadap paru-paru, berbanding varian sebelumnya yang akan menyebabkan kesukaran bernafas yang serius.

Pada November lalu, apabila laporan pertama Omicron muncul di Afrika Selatan, saintis hanya dapat meneka bagaimana varian itu mungkin berbeza daripada varian lebih awal. Apa yang mereka tahu ialah ia mempunyai gabungan tersendiri dan membimbangkan dengan lebih daripada 50 mutasi genetik.

Penyelidikan sebelum ini menunjukkan bahawa beberapa daripada mutasi itu membolehkan virus Covid-19 memegang sel dengan lebih ketat. Yang lain membenarkan virus itu mengelak antibodi, yang berfungsi sebagai garis pertahanan awal terhadap jangkitan. Tetapi bagaimana varian baharu itu bertindak di dalam badan adalah misteri.

“Anda tidak boleh meramalkan tingkah laku virus hanya daripada mutasi,” kata pakar virus Universiti Cambridge, Dr Ravindra Gupta.

Sepanjang bulan lalu, lebih 12 kumpulan penyelidikan, termasuk Dr Gupta, telah mengkaji patogen baharu dalam makmal, menjangkiti Omicron dengan menyembur virus ke hidung haiwan.

Tatkala mereka menjalankan kajian, Omicron melonjak ke seluruh dunia, dengan mudah menjangkiti walaupun terhadap individu yang telah diberi vaksin lengkap atau pulih daripada jangkitan.

Walaupun kes meningkat, jumlah kemasukan ke hospital meningkat dengan sederhana. Kajian awal pesakit mencadangkan bahawa Omicron kurang berkemungkinan menyebabkan jangkitan yang teruk berbanding varian lain, terutamanya terhadap individu yang diberi vaksin.

Banyak eksperimen yang didedahkan kepada umum dalam beberapa hari kebelakangan ini semuanya menunjukkan kesimpulan yang sama – Jangkitan Omicron lebih ringan berbanding Delta dan varian terdahulu.

Rabu lalu, satu konsortium saintis Jepun dan Amerika Syarikat mengeluarkan laporan mengenai hamster dan tikus yang telah dijangkiti sama ada Omicron atau salah satu daripada beberapa varian terdahulu – kurang kerosakan paru-paru dan kehilangan berat badan serta berkemungkinan kecil untuk mati.

Walaupun haiwan yang dijangkiti Omicron secara purata mengalami simptom yang lebih ringan, saintis terkejut dengan keputusan hamster Syria, spesies yang diketahui sakit teruk terhadap jangkitan semua varian Covid-19 sebelum ini.

“Ini mengejutkan, kerana setiap varian lain telah menjangkiti hamster ini dengan kuat,” kata Dr Michael Diamond, pakar virus di Universiti Washington dan pengarang bersama kajian itu.

Beberapa kajian lain mengenai tikus dan hamster telah mencapai kesimpulan yang sama. Seperti kebanyakan penyelidikan Omicron, kajian ini telah disiarkan dalam talian tetapi belum lagi diterbitkan dalam jurnal saintifik.

Sebab jangkitan Omicron lebih ringan mungkin kerana masalah anatomi. Dr Diamond dan rakan-rakannya mendapati bahawa tahap Omicron dalam hidung hamster adalah sama seperti pada haiwan yang dijangkiti varian lebih awal. Tetapi, tahap Omicron dalam paru-paru adalah satu persepuluh atau kurang daripada tahap varian lain.

Penemuan serupa datang daripada penyelidik di Universiti Hong Kong yang mengkaji kepingan tisu yang diambil daripada saluran pernafasan manusia semasa pembedahan. Dalam 12 sampel paru-paru, penyelidik mendapati Omicron berkembang lebih perlahan daripada Delta dan varian lain.

Penyelidik juga menjangkitkan tisu bronkus – tiub di bahagian atas dada yang menghantar udara dari tenggorokan ke paru-paru – dan di dalam sel bronkus tersebut, dalam dua hari pertama selepas jangkitan, Omicron berkembang lebih cepat daripada Delta atau varian asal.

Bagaimanapun, penemuan ini perlu disusuli dengan kajian lanjut, seperti eksperimen terhadap monyet atau pemeriksaan saluran pernafasan individu yang dijangkiti Omicron.

Jangkitan Covid-19 bermula di hidung atau mungkin mulut dan merebak ke kerongkong. Jangkitan ringan tidak lebih jauh daripada itu. Tetapi apabila virus sampai ke paru-paru, ia boleh menyebabkan kerosakan yang serius.

Sel-sel imun dalam paru-paru boleh bertindak balas dengan berlebihan, membunuh bukan sahaja sel yang dijangkiti tetapi yang tidak dijangkiti. Ia boleh mencetuskan keradangan dan parut pada dinding halus paru-paru.

Virus itu juga boleh lari daripada paru-paru yang rosak, memasuki saluran darah, sekali gus mencetuskan pembekuan dan merosakkan organ lain.

Walaupun kajian ini jelas membantu menjelaskan mengapa Omicron menyebabkan penyakit yang lebih ringan, ianya masih belum menjawab mengapa varian itu sangat pantas merebak dari seorang individu kepada individu lain. – Agensi

Berita berkaitan
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
Jumlah kes Covid-19 aktif setakat ini 20,017
December 11, 2023· Isu semasa
Usul pindah RM21 bilion kepada Kumpulan Wang Pembangunan diluluskan
November 30, 2023· Isu semasa
Popular
Aktiviti Ramadan kembali hidup di Masjidil Haram, Masjid Nabawi
April 2, 2022
Singapura beri amaran kesan buruk, eraksi berpanjangan kopi Pejuang
May 26, 2022
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok