Guru agama rogol pelajar di Indonesia dijatuhi hukuman mati

Mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang guru agama selepas disabitkan merogol 13 kanak-kanak perempuan di sebuah sekolah Islam.

Keputusan itu dibuat susulan pihak pendakwa mengemukakan rayuan terhadap pesalah tersebut supaya dikenakan hukuman mati selepas pada mulanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Kes guru agama itu, Herry Wirawan mengejutkan Indonesia dan menunjukkan betapa pentingnya kanak-kanak dilindungi daripada keganasan seksual di sekolah agama berasrama penuh di negara tersebut.

Tertuduh sebelum itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup di Mahkamah Bandung pada Februari, bagaimanapun pihak pendakwa raya mengemukakan rayuan hukuman mati terhadap tertuduh.

“(Kami) dengan ini menghukum defendan dengan hukuman mati,” kata hakim dalam satu kenyataan pada Isnin yang disiarkan di secara dalam talian di Mahkamah Tinggi Bandung.

Ira Mambo, peguam tertuduh, enggan mengulas sama ada akan membuat rayuan memandangkan mahu meneliti terlebih dahulu keputusan penuh mahkamah.

Sekitar 2016 dan 2021, Herry merogol 13 gadis yang berumur antara 12 dan 16 tahun, selain menghamilkan lapan mangsanya, kata seorang hakim pada Februari.

Pegawai Indonesia, termasuk Menteri Perlindungan Kanak-Kanak negara itu, juga menyokong gesaan supaya hukuman mati dijatuhkan terhadap Herry, walaupun suruhanjaya hak asasi manusia negara itu, yang menentang hukuman mati, berkata ia tidak wajar.

BERITA BERKAIT
POPULAR