Gladys Berejiklian letak jawatan KM New South Wales

Ketua Menteri New South Wales (NSW), Gladys Berejiklian meletak jawatan hari ini susulan kenyataan pemantau rasuah berkata mereka sedang menyiasat sama ada beliau terbabit dalam apa yang didakwa sebagai tingkah laku yang ‘menimbulkan atau melanggar kepercayaan umum’.

Peletakan jawatan secara mengejut itu menyusul tatkala negeri itu – dengan sektor ekonomi terbesar di Australia melebihi Singapura, Thailand atau Malaysia – sedang berusaha memerangi penularan terburuk Covid-19.

NSW sedang bersiap sedia untuk mengakhiri perintah sekatan dan penutupan selama berbulan-bulan ketika Australia bersetuju membuka semula sempadan antarabangsa pada November.

Berejiklian mengatakan bahawa masalah yang disiasat adalah ‘isu sejarah’, tetapi beliau terpaksa berundur kerana siasatan akan mengambil masa yang panjang.

Saya menyatakan bahawa saya sentiasa bertindak dengan penuh integriti,” katanya dalam sidang media hari ini.

Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah NSW (ICAC) dalam satu kenyataan di laman webnya menyatakan mereka akan mengadakan sesi pendengaran awam sebagai sebahagian daripada siasatannya yang sedang berlangsung – Operasi Keppel – pada 18 Oktober ini.

Siasatan itu mendapat maklumat bahawa Berejiklian pernah menjalin hubungan rahsia dengan anggota Dewan Negara yang menjadi fokus penyiasatan rasuah suruhanjaya itu.

“Peletakan jawatan saya tidak sepatutnya berlaku ketika saat terburuk ini, tetapi masanya benar-benar di luar kawalan saya, apabila ICAC membuat keputusan ketika minggu-minggu yang penuh cabaran dalam memerangi Covid-19,” katanya.

Berejiklian yang menjadi Ketua Menteri pada 2017 setiap hari berdepan dengan media untuk mengumumkan kadar jangkitan, kematian dan perintah sekatan berkaitan Covid-19.

Dalam tempoh seminggu terakhir, jumlah jangkitan harian mulai menurun ketika negeri itu mencapai sasaran vaksinasi 70 peratus dan kelonggaran untuk pergerakan dijangka diberikan pertengahan bulan ini. Hari ini, NSW merekodkan 864 kes baharu dan 15 kematian.

Berejiklian adalah Ketua Menteri NSW yang kedua meletak jawatan susulan siasatan ICAC. Pada 2014, Barry O’Farrell juga meletak jawatan
setelah memberikan bukti bahawa dia lupa memberitahu ICAC bahawa dia telah menerima hadiah sebotol wine Grange bernilai AS$3,000. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR