
Pelabuhan Iskenderun, Turkiye, masih ditutup akibat kebakaran besar setelah gempa bumi semalam (6 Februari 2023). - Gambar Anadolu
Recep Tayyip Erdoğan mengisytiharkan 10 wilayah yang terjejas akibat gempa bumi yang dahsyat di selatan Turkiye semalam (6 Februari) sebagai zon bencana sambil mengenakan perintah darurat di wilayah itu selama tiga bulan.
Dalam ucapannya, Reuters melaporkan bahawa Presiden Turki itu hari ini berkata, 70 negara telah menawarkan bantuan dalam operasi mencari dan menyelamat dan Turki merancang untuk membuka hotel di hab pelancongan Antalya, di sebelah barat, untuk menempatkan sementara mereka yang terjejas.
Beliau berkata jumlah mereka yang terkorban dalam bencana itu meningkat kepada 3,549 orang, menjadikan keseluruhan kematian di Turkiye dan Syria sebanyak 5,151 orang.
Setakat malam ini, lebih 8,000 orang telah dikeluarkan dari runtuhan bangunan di Turkiye, kata Naib Presiden Fuat Oktay.
Kira-kira 380,000 orang telah ditempatkan di pusat perlindungan sementara atau hotel kerajaan, dengan yang lain berkumpul di pusat beli-belah, stadium, masjid dan pusat komuniti.
Associated Press melaporkan bahawa orang ramai memohon bantuan menerusi media sosial bagi membantu menyelamatkan keluarga mereka yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Erdoğan juga berkata 13 juta daripada 85 juta populasi di negara itu terjejas akibat gempa bumi dengan kekuatan 7.8 magnitud yang boleh dirasai sehingga ke Cyprus dan Kaherah, Mesir.
Kerajaan katanya hanya membenarkan kenderaan yang membawa bantuan memasuki wilayah Kahramanmaraş, Adıyaman dan Hatay yang paling teruk terjejas untuk mempercepatkan usaha mencari dan menyelamat.
Turki mempunyai sejumlah besar tentera di wilayah sempadan dengan Syria dan telah menugaskan pasukan itu untuk membantu dalam usaha menyelamat, termasuk mendirikan khemah untuk gelandangan dan hospital lapangan di wilayah Hatay.
Menteri Pertahanan Hulusi Akar berkata sebuah briged bantuan kemanusiaan yang berpangkalan di Ankara dan lapan pasukan mencari dan menyelamat tentera juga telah dikerahkan. – Agensi