
Gempa 7.8 magnitut menggegarkan Turkiye, dan Syria menyebabkan ratusan maut dan ribuan cedera hari ini (6 Februari 2023).
Ratusan penduduk di Turkiye dan Syria dilaporkan terbunuh dalam gempa bumi kuat berskala 7.8 magnitud yang menggegarkan tkedua-dua negara itu hari ini (6 Februari 2023) sehingga boleh dirasai hingga ke Cyprus dan Mesir.
Gegaran mula dirasai kira-kira jam 4.17 pagi waktu tempatan (0117 GMT) pada kedalaman 17.9 kilometer, lapor Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS), dengan gegaran 6.7 magnitut menyusul 15 minit kemudian.
Pegawai perkhidmatan kecemasan di Turkiye meletakkan angka kematian awal pada 76, walaupun ia mengatakan jumlah itu mungkin meningkat lebih tinggi kerana bencana ketika penduduk sedang tidur itu telah meratakan berpuluh-puluh blok pangsapuri di seluruh bandar utama.
Sekurang-kurangnya 50 orang maut di bahagian Syria yang dikawal kerajaan, serta kawasan utara yang dikuasai puak pro-Turkiye, menurut media kerajaan dan sebuah hospital tempatan.
Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) melaporkan gempa pertama berukuran 7.4 magnitud, sambil menambah bahawa ia diikuti oleh berpuluh-puluh gegaran susulan.
Gempa bumi itu adalah antara yang paling kuat melanda wilayah itu dalam tempoh sekurang-kurangnya satu abad, menjejaskan Turkiye yang menjadi rumah kepada berjuta-juta pelarian dari Syria dan kawasan lain yang dilanda perang.
“Terdapat banyak bangunan yang rosak,” kata Ketua AFAD Orhan Tatar dalam kenyataan di televisyen.
Gempa bumi itu menyebabkan berpuluh-puluh bangunan di seluruh bandar utama di selatan Turkiye serta negara jiran Syria, sebuah negara yang dilanda keganasan lebih sedekad yang telah mengorbankan ratusan ribu dan jutaan orang kehilangan tempat tinggal.
Imej di televisyen dan media sosial Turkiye menunjukkan penyelamat menggali runtuhan bangunan yang runtuh di bandar Kahramanmaras dan Gaziantep berdekatan.
Televisyen NTV berkata bangunan juga runtuh di bandar Adiyaman, Malatya dan Diyarbakir.
Gabenor Kahramanmaras Omer Faruk Coskun berkata masih terlalu awal untuk menganggarkan jumlah kematian kerana begitu banyak bangunan yang runtuh dan musnah.
“Tidak mungkin untuk memberikan jumlah kematian dan cedera pada masa ini kerana begitu banyak bangunan telah musnah,” kata Coskun. “Kerosakan itu serius.”
Sebahagian daripada sebuah masjid terkenal sejak abad ke-13 runtuh di wilayah Maltaya.
Di bandar-bandar lain, penyelamat bergelut untuk mencapai mangsa yang terselamat dan masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
“Kami mendengar suara di sini – dan di sana juga,” seorang penyelamat kedengaran berkata di televisyen NTV di hadapan sebuah bangunan yang runtuh di bandar Diyarbakir.
“Mungkin terdapat 200 orang di bawah runtuhan.” – agensi