Gelombang keempat di Jerman disifatkan ‘pandemik tidak divaksin’

Hospital Universiti Giessen (UHG), salah satu klinik terkemuka di Jerman untuk penyakit paru-paru, berada pada tahap kapasiti. Jumlah pesakit Covid-19 meningkat tiga kali ganda dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Hampir separuh daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dan setiap seorang daripada mereka tidak divaksinasi.

“Saya bertanya kepada setiap pesakit: Mengapa anda tidak mendapat vaksin?” kata Dr Susanne Herold, ketua bahagian penyakit berjangkit UHG.

“Mereka adalah gabungan individu yang tidak mempercayai vaksin, tidak mempercayai negara sendiri dan sering sukar mendapat maklumat mengenai kempen vaksinasi.”

Pesakit seperti itu adalah pemacu utama gelombang keempat kes Covid-19 di Jerman yang menyaksikan puluhan ribu jangkitan harian baharu – lebih banyak daripada yang pernah dialami negara itu pada bila-bila masa ketika wabak itu mula tersebar.

Bagi Jerman, gelombang ke empat itu adalah satu perubahan yang mengejutkan. Pada permulaan pandemik, negara itu menjadi contoh bagaimana menguruskan Covid-19 dan mengekalkan jumlah kematian yang rendah.

Negara itu dengan pantas melaksanakan ujian saringan dan rawatan yang meluas dan menambah bilangan katil unit rawatan rapi (ICU). Kepimpinan Chanselor Dr Angela Merkel – seorang saintis terlatih – dipercayai dan melaksanakan garis panduan penjarakan sosial yang dipatuhi secara meluas.

Tetapi hari ini, gabungan beberapa faktor telah mendorong lonjakan baharu jangkitan, antaranya suhu musim sejuk, pemberian vaksin penggalak yang perlahan dan peningkatan jangkitan yang lebih ketara di negara jiran Eropah Timur, seperti Republik Czech.

Namun pakar virus dan pandemik mengatakan terdapat sedikit keraguan bahawa mereka yang tidak divaksinasilah yang menyumbang paling banyak kes ketika gelombang jangkitan yang membebankan hospital di seluruh negara.

“Ia kerana kadar vaksinasi yang rendah… kami tidak melakukan apa yang perlu,” kata Dr Herold.

Beliau adalah antara pasukan saintis yang memodelkan kesan gelombang keempat dan memberi amaran pada awal musim panas bahawa dengan varian Delta yang cepat menular, sekurang-kurangnya 85 peratus daripada keseluruhan populasi perlu diberi vaksin untuk mengelakkan krisis dalam sistem penjagaan kesihatan.

“Program vaksinasi kami masih di bawah tahap 70 peratus. Saya tidak tahu bagaimana kami boleh memenangi perlumbaan menentang masa, dengan gelombang keempat. Saya bimbang kami sudah tewas,” katanya.

Terdahulu, Dr Merkel berkata individu yang tidak mengambil vaksin Covid-19 mesti faham bahawa tanggungjawab awam mereka adalah melindungi orang lain.

Walaupun kebanyakan mereka yang tidak divaksinasi berada dalam kumpulan umur yang secara statistik berkemungkinan dijangkiti Covid-19 yang kurang teruk, mereka juga boleh menularkan virus itu kepada orang tua yang memiliki sistem imun lebih lemah, yang kemudiannya boleh dimasukkan ke ICU, walaupun seteah divaksinasi.

Kadar vaksinasi Jerman jauh lebih baik daripada kebanyakan negara Eropah Tengah dan Timur, di mana jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat. Di Romania, sebagai contoh, hanya kira-kira empat daripada 10 orang telah mendapat dua suntikan, dan kematian akibat Covid-19 telah mencapai tahap tinggi.

Namun, dengan kira-kira satu daripada tiga warga Jerman belum mendapat vaksin sepenuhnya, kadar vaksinasi di negara itu adalah antara yang terendah di Eropah Barat.

Di Belgium, Denmark dan Itali, tiga daripada empat individu telah diberi vaksin sepenuhnya. Di Sepanyol dan Iceland, hanya kira-kira dua daripada 10 individu masih belum mendapat suntikan kedua. Portugal mempunyai kadar vaksinasi hampir 90 peratus.

Semalam, Jerman mencatat 50,196 jangkitan baharu Covid-19, pertama kali melepasi 50,000 kes sejak pandemik melanda tahun lalu, menjadikan keseluruhannya hampir lima juta penduduknya dijangkiti virus itu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR