Gelombang Covid-19 di UK mengejutkan, kes harian lebih 78,600

United Kingdom (UK) merekodkan kes Covid-19 paling tinggi setiap hari sejak permulaan wabak itu apabila ketua kesihatan kanan Britain berkata mungkin terdapat peningkatan yang ‘mengejutkan’ dalam beberapa hari akan datang.

Sebanyak 78,610 lagi jangkitan Covid-19 dilaporkan, kira-kira 10,000 lebih tinggi daripada paras tertinggi sebelumnya yang dilaporkan pada Januari.

Lebih 11 juta orang kini diuji positif Covid-19 di United Kingdom, yang mempunyai jumlah penduduk sekitar 67 juta.

Dengan varian baharu Omicron yang sangat mudah menular sehingga melonjak kes di seluruh Britain, Perdana Menteri Boris Johnson telah memberi amaran berhubung ‘gelombang pasang surut’ jangkitan.

Bagaimanapun, Johnson mengalami tamparan hebat terhadap kuasanya pada Selasa apabila menerima tentangan terbesar sejak memegang jawatannya apabila lebih 100 Ahli Parlimen mengundi menentang langkah-langkah untuk membendung peningkatan penularan penyakit itu.

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Kesihatan UK, Jenny Harries mengklasifikasikan varian Omicron mungkin ancaman paling ketara sejak permulaan wabak Covid-19.

“Angka-angka yang kita lihat pada data dalam beberapa hari akan datang akan agak mengejutkan berbanding dengan kadar peningkatan yang dilihat dalam kes untuk varian sebelumnya,” katanya kepada jawatankuasa Parlimen.

Harries berkata Omicron mempunyai potensi meletakkan perkhidmatan kesihatan negara dalam ‘bahaya yang serius’ kerana kelajuan jangkitan semakin meningkat.

Varian baharu virus itu meningkat dua kali ganda dalam tempoh tidak sampai dua hari di kebanyakan wilayah di Britain, dengan kadar peningkatannya amat ketara di London dan Manchester.

Lebih 10,000 kes Omicron telah direkodkan, dengan sekurang-kurangnya 10 orang dimasukkan ke hospital. Seorang maut selepas dijangkiti varian itu, yang bakal menjadi varian dominan di London.

Sehingga kini, lebih 146,000 orang telah meninggal dunia akibat Covid-19 di United Kingdom. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR