
Pegawai Keselamatan Makanan Marin dan Pertanian memeriksa seekor lembu bagi mengelak penularan penyakit kaki dan mulut di Tanjung Priok, Jakarta Utara, Indonesia. - Gambar Reuters
Wabak penyakit kaki dan mulut (FMD) di Indonesia menjadi ancaman ibadah korban menjelang sambutan Aidiladha tahun ini, dengan peniaga ternakan di negara majoriti Muslim terbesar di dunia itu berdepan jualan yang menurun.
Hari Raya Korban atau Aidiladha merupakan antara cuti utama dalam kalendar Islam di Indonesia dan tahun ini ianya jatuh pada 9 Julai.
Menjelang perayaan, kandang sementara yang menempatkan lembu dan kambing biasanya terdapat di sekitar jalan raya yang sibuk di ibu negara Indonesia dan di seluruh negara. Secara tradisinya, umat Islam akan menyembelih haiwan dan berkongsi daging dengan orang miskin.
Tetapi tahun ini penyebaran FMD, penyakit virus berjangkit yang memberi kesan kepada lembu, biri-biri, dan kambing, telah menjejaskan jualan dengan ketara.
“Tahun ini merupakan tahun kerugian bagi kami,” kata Jamal Lulay, seorang peniaga di Jawa Barat yang hanya menjual 50 ekor lembu tahun ini.
“Sebelum Covid-19, kami boleh menjual sehingga 330 ekor lembu, dan semasa Covid ia sekitar 170… Jualan tahun ini menurun secara drastik.”
Indonesia telah melancarkan program vaksinasi ternakan di seluruh negara dalam usaha membendung wabak yang bermula Mei lalu.
Lebih 317,000 haiwan telah dijangkiti di 21 wilayah Indonesia, sebahagian besarnya di Pulau Jawa dan Sumatera yang paling ramai penduduk, dengan lebih 3,400 haiwan dimusnahkan, menurut data kerajaan.
Walaupun penyakit itu boleh membawa maut kepada haiwan, ia tidak dianggap sebagai ancaman kepada kesihatan manusia.
“Keghairahan orang ramai terhadap ibadah korban tidak berkurangan, tetapi mereka lebih bimbang tentang kesihatan (haiwan berkenaan),” kata Muhammad Husein al Bana, seorang peniaga ternakan di Jakarta.
Sehingga Mei lalu, negara Asia Tenggara itu bebas daripada FMD sejak 1986, status yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia pada 1990.
“Akhirnya ia adalah keputusan pengguna,” kata Iskandar Saputra, pembeli Jakarta masih sanggup mengambil risiko.
“Saya rasa lembu yang dijual di sini selamat dan sihat.” – Agensi