Finland tamatkan perkhidmatan keretapi ke Rusia susulan sekatan EU

Pengendali kereta api yang berpangkalan di Finland, VR mengumumkan penamatan perkhidmatan yang menghubung Helsinki ke St. Petersburg, Rusia susulan sekatan Kesatuan Eropah (EU).

Susulan sekatan yang dikenakan sebelum ini, perkhidmatan kereta api adalah satu-satunya pengangkutan awam terakhir yang tinggal menghubung antara kedua-dua negara tersebut.

“Setakat ini kami meneruskan perkhidmatan kereta api Allegro, mengikut arahan pihak berkuasa yang berkaitan bagi memastikan kami dapat menyediakan laluan yang selamat kepada warga Finland,” kata Naib Presiden Kanan di VR Group, Topi Simola dalam satu kenyataan.

“Sepanjang minggu ini, orang ramai yang ingin berlepas dari Rusia, mempunyai masa yang mencukupi untuk meninggalkan negara tersebut. Sekarang, disebabkan sekatan, kami akan menghentikan perkhidmatan buat masa ini.”

Perkhidmatan laluan keretapi tersebut adalah usaha sama antara VR dan Keretapi Rusia. Sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, kebanyakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan itu untuk meninggalkan Rusia ekoran penutupan laluan udara.

“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini hanya terdapat kira-kira 60% kapasiti setiap hari dalam kereta api dari St. Petersburg ke Finland,” kata Ketua Komunikasi VR, Tatu Tuominen, dipetik Euronews.

“(Sementara) Dari Finland ke St. Petersburg ia adalah kira-kira 25% kapasiti menggunakan keretapi.”

BERITA BERKAIT
POPULAR