Filipina catat 8,702 kes baharu, Presiden Duterte kena kuarantin

Sebanyak 8,702 jangkitan baharu Covid-19 direkodkan di Filipina semalam, tatkala Presiden Rodrigo Duterte menjalani kuarantin setelah terdedah kepada kes positif yang melibatkan kakitangannya.

Duterte, 76, diuji negatif tetapi ketika ini mematuhi protokol kuarantin wajib”, kata jurucakap presiden Karlo Nograles.

“Presiden terus bekerja semasa dalam kuarantin, dan sentiasa berkomunikasi dengan anggota Kabinet untuk memastikan perkara yang mendesak ditangani,” tambahnya.

Di bawah protokol kuarantin, individu yang terdedah kepada mereka yang positif Covid mesti menjalani kuarantin sekurang-kurangnya lima hari jika mereka divaksin dan tidak mempunyai simptom.

Presiden itu, yang penggal enam tahunnya berakhir pada Jun, telah divaksin dua kali dengan Sinopharm tahun lepas, dan menerima suntikan penggalak pada Januari.

Sehingga kini, Filipina merekodkan lebih 3.585 juta kumulatif kes positif dengan 94.2 peratus atau 3.378 juta pesakit telah sembuh, 54,168 kes kematian dan 153,335 kes masih aktif.

Kadar positif di negara itu adalah sebanyak 25.5 peratus, menerusi 42,446 sampel yang diuji.

Kira-kira 148,000 individu, atau hampir 97 peratus, mengalami gejala ringan penyakit itu; 324 pesakit kritikal; 1,528 teruk, dan 3,067 sederhana.

Kadar penghunian bagi pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU), katil pengasingan dan wad di hospital di Metro Manila adalah pada 37 peratus, 32 peratus dan 36 peratus. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR